Pages

Monday, March 6, 2017

[BERA] USAHA SERAMPANG DUA MATA


Usaha serampang dua mata


Majlis Belia Daerah (MBD) menggerakkan semua ahlinya dan belia di daerah ini supaya berkecimpung dalam industri pertanian, bukan sahaja dijadikan sebagai sumber pendapatan, malah menceriakan landskap persekitaran.

Pengerusinya, Mohd Rosidi Hassan berkata, peluang disediakan kerajaan kepada pengusaha dalam bidang pertanian dan penternakan sentiasa terbuka malah sebahagian besar daripada golongan belia sudah berada pada landasan ini.

Menurutnya, bagaimanapun masih ada segelintir belia masih belum mahu mencuba bidang itu.

“Buat permulaan, mereka tidak perlu mengeluarkan modal besar sebaliknya cukup sekadar ditanam di laman rumah atau dalam pasu serta beg poli, dan hasilnya boleh dinikmati sendiri. Sekurang-kurangnya, produk dimakan itu dijamin bersih dan halal.

“Malah, tidak perlu juga melakukan secara berkelompok jika kita masih kurang ilmu berkaitan itu kerana dikhuatiri merugikan diri sendiri.

"Jadi, kalau tanam di laman rumah, elok juga dapat menceriakan kawasan persekitaran,” katanya.

Mohd Rosidi berkata, sempena Tahun Melawat Pahang tahun ini, meskipun di daerah ini kurang daya tarikan, namun setidak-tidaknya pembangunan dalam industri pertanian termasuk kebersihan dan keceriaan persekitaran mampu menarik kehadiran orang luar ke situ.

Katanya, ini juga termasuk pengusaha berjaya mengeluarkan produk makanan berasaskan pertanian, yang semakin mendapat tempat di kalangan pelanggan luar daerah.

“Kalau kita tidak mampu menarik pelancong kerana kita kekurangan lokasi pelancongan yang menarik, sekurang-kurangnya kita dapat menarik mereka ke sini untuk melihat perkembangan industri pertanian dan penternakan diusahakan di sini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Rosidi memberitahu, MBD merancang pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang tahun ini yang turut membabitkan jabatan dan agensi kerajaan serta NGO lain.

Katanya, walaupun wujud persaingan antara NGO lain yang dianggotai golongan belia, namun MBD sentiasa berusaha mencari idea segar untuk dimanfaatkan semua ahli pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor