Shah Alam – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya melahirkan kebimbangan isu Valet Doa, sekiranya tidak dibendung akan membawa bidaah.
Katanya, keadaan tanpa sempadan ini membuka peluang banyak pihak mengkomersialkannya dan boleh menyebabkan salah faham dalam kalangan umat Islam.
“Tindakan tersebut tidak wajar kerana ia mengundang pelbagai persepsi dan situasi.
“Saya nyatakan kebimbangan. Saya tidak menuduh. Apabila dikomersialkan, orang akan cari dan membuka kepada situasi tanpa sempadan.
“Jika tidak dikawal dan lebih ramai menawarkan pakej sedemikian, saya kira tidak sihat jika dikomersialkan,” katanya, semalam.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila umat Islam tidak lagi bergantung kepada ALLAH SWT, sebaliknya meletakkan kebergantungan kepada manusia.
“Sebenarnya hubungan kita sebagai hamba-Nya adalah secara langsung, minta kepada ALLAH SWT lebih afdal.
“Antara ciri orang dimasukkan syurga tanpa hisab adalah mereka yang berukyah (jampi) dirinya tanpa perantara. Mesej daripada hadis itu menunjukkan bahawa hubungan dengan ALLAH SWT itu secara langsung,” katanya.
Justeru, beliau berharap pihak berkenaan melihat situasi itu dengan lebih terperinci.
“Adakan perbincangan. Dapatkan penjelasan pihak terlibat sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor