Zoo mini milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Temerloh yang pernah beroperasi di sini lebih 10 tahun lalu sepatutnya dibuka kembali bagi menambah tarikan yang ada di daerah ini.
Zoo mini milik Perhilitan yang menempatkan haiwan liar seperti harimau, buaya, ular sawa, kancil dan pelbagai spesies burung ditutup untuk orang awam selepas difahamkan ia tidak menepati piawaian sebuah zoo, tambahan pula kos penyelenggaraan yang tinggi diperlukan untuknya terus beroperasi.
Penduduk, Abdul Holif Baki berkata, zoo mini milik Perhilitan satu ketika dahulu sememangnya menjadi tumpuan ibu bapa membawa anak-anak melihat hidupan liar dengan lebih dekat.
Menurutnya, walaupun tidak besar tetapi sekurang-kurangnya ia juga menjadi tempat lawatan yang paling hampir dengan bandar, sekali gus dapat mempelbagaikan tarikan yang ada di daerah ini.
“Sekarang selepas lebih 10 tahun tidak ada lagi mini zoo ni, tapaknya masih ada tapi tidak ada pihak sama ada Perhilitan atau Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang nak teruskan operasinya.
“Saya difahamkan kos penyelenggaraannya agak tinggi terutama sekali melibatkan kos makanan dan perubatan haiwan yang ditempatkan di sini.
“Kalau kos yang menjadi masalah, cadangkan saja mini zoo ini dikendalikan pihak swasta dan keluarkan tiket untuk lawatan pengunjung,” katanya.
Manakala, bagi Noraini Mutalib, 52, zoo mini sememangnya memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi tetapi kos itu boleh diikhtiarkan sama ada dengan kutipan tiket atau ia dikendalikan MPT sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, MPT yang mempunyai kakitangan pelbagai bidang seharusnya mengambil inisiatif membuka semula zoo mini itu.
“Tidak perlu besar mana pun, nama pun zoo mini.. sekadar ada haiwan liar yang mudah diperoleh sudah memadai, mereka boleh bekerjasama dengan Perhilitan untuk tujuan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor