Pages

Sunday, February 5, 2017

TANGANI SEGERA ISU LOGO HALAL PALSU




Tangani segera isu logo halal palsu


Kota Bharu - Persatuan Pengguna Kelantan Darulnaim menggesa kerajaan lebih serius dalam menangani penggunaan logo halal palsu yang dikatakan mengelirukan rakyat terutama pengguna Islam.

Presidennya, Datuk Muhamad Noordin Awang berkata, ia penting sebagai usaha meningkatkan keyakinan pengguna terhadap status Pensijilan Halal Malaysia itu sendiri.

“Sebagai contoh, logo halal pada berus cat bulu babi yang telah mengelirukan banyak pihak. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pengguna memberikan kepercayaan terhadap produk yang dijual.

“Bagaimana logo halal tersebut berjaya dipalsukan, adakah pihak berkuasa tidak menjalankan pemantauan lanjut sehingga terlepas pandang perkara seperti itu,” katanya kepada Sinar Harian mengulas isu lambakan berus cat bulu babi yang menggunakan logo halal palsu.

Beliau mengulas mengenai isu tersebut selepas mesyuarat jawatankuasa persatuan berkenaan di sini, semalam.

Menurutnya, langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang bertindak merampas berus cat bulu babi tepat sebagai salah satu usaha untuk menangani isu ini.

“Bagaimanapun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memperhebatkan penguasaan terhadap penggunaan logo halal itu sendiri agar tidak disalah gunakan untuk kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Noordin berkata, pengguna perlu peka dengan persekitaran mereka dan segera melaporkan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya ada yang menimbulkan keraguan khususnya melibatkan isu- isu menyentuh sensitiviti umat Islam.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor