Pages

Saturday, February 11, 2017

TABUR BAKTI KEPADA PENDUDUK


Tabur bakti kepada penduduk


Mempunyai sifat suka membantu masyarakat setempat membuatkan dirinya dikenali dan disenangi ramai.

Rosli Omar, 45, berkata, dia merupakan anak kedua daripada lima beradik dan dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan.

“Keadaan saya yang pernah merasa hidup susah membuatkan saya memahami akan kesusahan orang lain dan nekad untuk membantu mereka,” katanya.

Katanya, bapanya merupakan seorang peniaga buah dan dia turut mengikut jejak langkah bapanya sejurus tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Masa itu keadaan ekonomi keluarga sangat susah dan setelah agak stabil dengan berniaga buah saya cuba memohon pinjaman bank untuk membeli traktor,” katanya.

Anak jati Kampung Kuala Rimau, Pendang itu menjalankan perkhidmatan sewa traktor dan mengambil upah membuat kerja melibatkan jentera berat itu.

“Ingin diimbas semula saat itu memang kehidupan saya susah. Kadang-kadang ada bulan yang saya sangkut juga untuk membayar pinjaman bank tetapi saya kuatkan hati untuk bekerja keras.

“Hari demi hari pendapatan saya semakin meningkat dengan menjual kayu getah. Apabila pendapatan mulai stabil pada 1995, saya membuka syarikat yang diberi nama Usaha Gemilang,” katanya.

Disebabkan kesusahan lampau, beliau nekad untuk membantu sesiapa sahaja yang mempunyai masalah kewangan yang datang menemuinya asalkan tiada unsur penipuan.

“Apabila berjaya buka syarikat, saya belajar untuk mengambil tender kontraktor sedikit demi sedikit.

“Bermula dengan mengambil projek dari rakan sehinggalah saya mendapat lesen kontraktor sendiri,” jelasnya.

Rosli berkata, projek pertamanya adalah pembinaan surau dan bermula dari situlah perniagaan kontraktornya berkembang.

Kebaikan Rusli yang tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik membuatkan rezekinya sentiasa bertambah.

Menurut Rusli dia turut menjaga empat orang anak saudara bermula tahun 2008 sehingga sekarang.

“Pada ketika itu abang saya meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan.

“Bagi saya, rezeki saya dalam perniagaan yang melimpah ruah ini juga mungkin disebabkan saya menjaga anak yatim,” katanya.

Bapa kepada empat orang anak ini tidak pernah membezakan kasih antara anak sendiri dan anak saudara yang dipeliharanya sehingga kini.

Dek kerana terlalu banyak jasanya di dalam masyarakat, Rusli pernah dianugerahkan darjah kebesaran Kedah sempena perayaan ulang tahun hari keputeraan Sultan Kedah yang ke-87 di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 26 Januari 2015 lalu.

Menurut Rusli, orang kampung adalah golongan sasaran utama yang perlu dibantu.

“Ini kerana masyarakat kampung mempunyai banyak masalah dari segi kewangan. Sebagai anak jati kampung yang pernah merasai kesusahan saya tidak akan membiarkan mereka hidup susah.

“Jika ada yang datang meminta bantuan insya-ALLAH saya akan bantu semampu mungkin,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor