Pages

Friday, February 17, 2017

SKIM SEWA SAMBIL MENABUNG


Skim sewa sambil menabung


Bukit Jalil - Golongan belia yang sukar mendapat kelulusan pinjaman bank untuk membeli rumah, kini boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memperkenalkan skim sewa sambil menabung.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, skim itu akan diperkenalkan kepada penyewa Rumah Transit 1Malaysia (RT1M) untuk dijadikan simpanan bagi membolehkan mereka membeli rumah selepas menyewa di RT1M.

Beliau berkata, kerajaan juga memahami kesukaran dihadapi golongan belia untuk membeli rumah berikutan harga rumah kian meningkat saban tahun.

“Selain harga rumah, ramai tidak dapat buat pinjaman rumah dari bank atas sebab kelayakan gaji atau sudah membuat pinjaman lain untuk membeli kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya.

“Jadi, saya lontarkan idea ini supaya anda fikirkan. Saya belum buat keputusan ini secara muktamad kerana saya mahu dengar pandangan anda semua,” katanya pada program Ramah Mesra Penduduk RT1M di Pinggiran Bukit Jalil, kelmarin.

Turut hadir timbalannya, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Ketua Pengarah Perumahan Negara, Datuk Abdul Rahim Ishak dan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

RT1M dilancarkan pada 2014 bagi golongan muda yang berpendapatan rendah di bawah RM3,000 sebulan untuk memulakan kehidupan dan memiliki rumah sendiri.

Rumah ini disewakan dengan kadar RM250 sebulan bagi tempoh sewaan selama dua tahun.

Sekiranya cadangan itu dilaksanakan, Noh berkata, penghuni akan diberi peluang untuk tinggal di RT1M lebih daripada dua tahun sehingga wang tabungan mencukupi untuk membeli rumah.

"Seperti contoh, penduduk bayar RM500 sebulan. RM250 kekal sebagai kadar sewaan manakala RM250 lagi tabungan penduduk sebagai persiapan mereka dalam menyediakan deposit untuk membeli rumah sebaik sahaja tempoh masa yang ditetapkan itu berakhir," katanya.

Dalam lawatan tersebut, beberapa penduduk melontarkan pandangan mengenai isu perumahan yang membelenggu mereka.

Salah seorang penduduk, Fitri Nadianti Zulaidi, 29, bersyukur kerana diberi peluang tinggal di RT1M memandangkan pendapatan bulanan suaminya hanya cukup-cukup untuk menyara tiga anak yang masih bersekolah.

“Kami harap saya sekeluarga dan penghuni lain yang tinggal di sini berpeluang menyewa dalam tempoh yang lebih lama berbanding dua tahun yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, tempoh sewa bagi kumpulan pertama seramai 162 orang itu sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini selepas genap dua tahun.

Kata Noh, setakat ini pihaknya menerima 111 rayuan daripada 162 penyewa terbabit untuk melanjutkan tempoh sewaan mereka.

“Saya beri jaminan mana-mana penyewa yang memenuhi peraturan dengan membuat bayaran secara konsisten, kita akan beri kelulusan dengan menyambung sewa mereka sekurang-kurangnya setahun sehingga akhir tahun ini dan sehinggalah satu dasar baru yang akan diberitahu kemudian,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor