Kota Bharu – Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia anjuran DAP menunjukkan pakatan pembangkang belum berupaya untuk mengambil-alih tampuk pemerintahan dari BN PRU14 ini.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini terbukti daripada ucapan pemimpin dalam sidang itu yang mengakui betapa pakatan pembangkang masih belum diyakini oleh pengundi Melayu.
“Saya terkejut membaca laporan ucapan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang membayangkan pengakuan mengenai masalah serius pakatan pembangkang dengan pengundi Melayu.
“Ucapan Mohamad Sabu bahawa pakatan pembangkang masih tetap tidak diyakini pengundi Melayu agak mengejutkan. Ia membayangkan seolah-olah beliau dan Amanah yang diketuainya sudah mengangkat bendera putih dalam berhadapan dengan pengundi Melayu dan menyalahkan DAP kerana tidak membantu mendapatkan sokongan pengundi Melayu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Kamarul Zaman berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian mengenai ucapan pemimpin Pakatan Harapan-Bersatu dalam Sidang Meja Bulat Selamatkan Malaysia anjuran DAP di Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin.
Menurutnya, begitu juga dengan ucapan Rafizi Ramli yang menyebut betapa selagi pakatan pembangkang tidak mencermin diri sendiri, mereka akan menghadapi masalah untuk mendapat sokongan, terutamanya daripada pengundi Melayu, kerana masalah kredibiliti mereka.
Termasuk juga seruan Syed Saddiq kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Kit Siang supaya melakukan kunjungan hormat kerumah Presiden, Timbalan Presiden dan pemimpin Pas lain.
“Semua ucapan ini memberi imej negatif terhadap keupayaan gabungan Pakatan Harapan-Bersatu memenangi PRU 14 kerana mereka tidak akan menang selagi belum mampu memperoleh sokongan pengundi Melayu.
“Sepatutnya sidang meja bulat yang membincangkan soal strategi dan masalah dalaman Pakatan Harapan-Bersatu ini dilangsungkan secara tertutup kerana bila ia dibuka kepada pihak luar maka sudah tentulah perkara yang tidak sepatutnya akan keluar.
“Bila soal strategi seperti seruan supaya pemimpin PH-Bersatu melakukan kunjungan hormat ke rumah Presiden, Timbalan Presiden dan pemimpin Pas lain terbocor, maka ia boleh menimbulkan persepsi negatif yang boleh menjatuhkan semangat ahli.
“Gesaan supaya pakatan pembangkang menumpukan perhatian terhadap isu-isu yang melibatkan kebimbangan kaum Melayu sebenarnya sudah lama dibuat, termasuk oleh pemimpin Pakatan Harapan sendiri, dan ia sepatutnya sudah ditangani," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor