Pages

Saturday, February 18, 2017

‘SAYA TAK MAMPU BERGERAK'


‘Saya tak mampu bergerak’


Sungai Rambai - Akibat kemalangan yang dialami dua tahun lalu, seorang anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang, bergantung harap bantuan ibu bapanya untuk menguruskan diri.

Mohd Noor Ismail, 31 kini tidak terdaya menguruskan dirinya kerana tidak mampu bergerak. 

“Kehidupan saya sekarang bergantung pada emak dan ayah. Makan, minum dan lain-lain keperluan saya dibantu mereka. Tanpa mereka, pasti lebih sukar dugaan yang saya hadapi kini,” katanya.

Bertugas sebagai seorang anggota tentera di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka, buat masa ini perkhidmatan Mohd Noor masih diteruskan seperti biasa.

“Saya sedang tunggu laporan kesihatan daripada pihak berkenaan, jika disahkan saya boleh pulih, perkhidmatan sebagai tentera mungkin diteruskan.

“Jika keputusan sebaliknya, saya terpaksa dihentikan perkhidmatan. Namun, saya lega kerana sehingga kini gaji masih berjalan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada program lawatan bersama Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Negeri Melaka di Sungai Rambai Tengah, di sini.

Program yang mendapat kerjasama Japerun, Jawatankuasa Kemajuan Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Sungai Rambai Tengah, Batu Gajah dan Sebatu itu, turut dihadiri wakil DMDI, Siti Othman serta Pembantu Japerun Sungai Rambai, Mohammad Fiza Mohd Fuad.

Mohd Noor berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepadanya sejak dia terlantar di rumah.

Dia gembira apabila DMDI sudi memberi sumbangan yang sedikit sebanyak dapat ringankan bebanan keluarga.

"Kini saya tidak mampu bergerak, jadi lampin pakai buang sangat diperlukan. Sementara gaji saya masih ada, bolehlah saya membelinya tetapi apabila ia dihentikan nanti, sudah pasti menjadi bebanan kepada saya serta keluarga.

“Apabila pihak DMDI memberitahu akan menyumbang bantuan lampin pakai buang setiap bulan, memang saya berasa sangat bersyukur,” katanya.

Sementara itu, Siti berkata, pihaknya terpanggil membantu golongan kurang mampu dalam Dun berkenaan selepas mendapat maklumat daripada pihak Japerun dan JKKK Sungai Rambai Tengah, Batu Gajah serta Sebatu.

“Insya-ALLAH, kita bantu apa termampu, setakat ini bantuan lampin pakai buang disalurkan demi meringankan bebanan mereka. Kita tahu, lampin pakai buang agak mahal harganya,” katanya.

Manakala Mohammad Fiza berkata, menjadi tanggungjawabnya menguruskan bantuan atau keperluan untuk penerima khususnya dalam Dun berkenaan.

“Sama ada bantuan secara langsung daripada Japerun atau dengan kerjasama agensi kerajaan, saya akan terus memberikan maklumat untuk menjaga kebajikan golongan memerlukan supaya tiada kes tercicir di sini,” katanya.

Selain Mohd Noor, tujuh lagi warga emas dan pesakit terlantar dalam Dun Sungai Rambai menerima bantuan lampin pakai buang daripada DMDI sebanyak dua pek setiap bulan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor