Pages

Sunday, February 26, 2017

[RAUB] ANAK ANGGOTA BOMBA ALAMI DERITA EKZEMA


asdasd


Seorang anggota bomba, Ahmad Safawi Othman, 29, dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub di sini berdepan ujian apabila bayinya yang berusia 10 bulan menanggung derita akibat menghidap penyakit kulit kronik.

Menurutnya, semasa anaknya, Muhammad Hudzaifah dilahirkan, anaknya tidak menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit ekzema namun apabila anaknya berusia dua bulan tanda penyakit kulit di badan anaknya mula kelihatan.

“Semasa anak saya lahir, dia lahir dengan sihat namun apabila anak saya berusia dua bulan, badan dia sudah mula bernanah.

“Namun dua bulan lepas keadaan badan anak saya teruk di mana seluruh badannya mula berdarah dan saya terus rujuk penyakit anak saya ke Hospital Kuala Lumpur dan disahkan oleh doktor anak saya menghidap penyakit ekzema,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini, hari ini.

Ahmad Safawi berkata sebelum anaknya dimasukan ke hospital, pelbagai rawatan moden dan tradisional telah dilakukan namun tidak menunjukkan sebarang perubahan anaknya akan sembuh.

“Kira-kira RM 8000 saya keluarkan sebelum ini dengan menggunakan pelbagai kaedah tradisional dan moden demi ingin melihat anak saya sembuh dan sihat seperti sediakala namun penyakitnya semakin teruk.

“Saya turut berterima kasih kepada Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dalam lawatan beliau ke rumah saya baru-baru ini dan memberi sumbangan yang boleh saya gunakan untuk rawatan anak saya,” katanya.

Sementara itu, ditanya kisah bayinya menjadi tular di laman sosial, isterinya, Mariati Ismail, 29 berkata dirinya sangat bersyukur dan menghargai dengan ucapan semangat dan doa dari orang ramai melalui laman Facebooknya.

Namun, menurutnya, ada segelintir daripadanya yang cuba mengambil kesempatan dengan memberi khidmat rawatan tradisional dan produk masing-masing.

“Yang positif saya menerima dan mengambilnya sebagai langkah lain yang mungkin boleh saya gunakan untuk merawat Muhammad Hudzaifah manakala yang negatif saya hanya abaikan," katanya

Dalam pada itu Mariati berkata selepas seminggu dirawat di HKL dan dibenarkan keluar pada Selasa lalu, penyakit Muhammad Hudzaifah sudah nampak sembuh dan sihat

“Sekarang ini, saya dan suami perlu memantau segala aktiviti dan pemakanan bayi saya khususnya melibatkan sentuhan kerana kulitnya sangat sensitif dan risau kulitnya akan menjadi teruk semula,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya menerusi akaun Maybank milik Ahmad Safawi yang bernombor 156208165804.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor