Marang – Usaha Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memujuk Pas agar bekerjasama dengan parti itu dalam menghadapi PRU14 akhirnya menemui noktah apabila Pas tetap bertegas dengan pendirian mereka.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini sekali lagi mengulangi pendirian parti itu, yang tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah.
“Kita sudah ada garis panduan, kita tidak akan bekerjasama dengan parti yang bekerjasama dengan DAP dan Amanah. Sikap kita begitulah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Rusila di sini, hari ini.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Marang itu menyempurnakan Majlis Perlepasan Konvoi Himpunan RUU 355 bertolak dari perkarangan Masjid Rusila ke Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Pada 14 Februari lalu, Bersatu memberi tempoh sebulan lagi kepada Pas untuk membuat keputusan sama ada untuk bekerjasama dengannya dan blok pembangkang lain.
Mahathir yang dipetik berkata, pihaknya masih memberi masa kepada Pas demi memberikan peluang cerah kepada blok berkenaan untuk memenangi PRU14 yang dijangka berlangsung pada bila-bila masa sahaja.
“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh tunggu Pas buat keputusan dalam tempoh yang lama. Kita sudah beri masa lama pada mereka untuk buat keputusan.
“Banyak lagi kerja kami perlu buat untuk persiapan menjelang PRU14. Takkan kita nak tunggu selama-lamanya untuk mereka membuat keputusan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelantikan Watikah Ketua-ketua Bahagian Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor