Pages

Wednesday, February 22, 2017

[KUANTAN] TIGA LELAKI DIPERCAYAI AH LONG DITAHAN


Tiga lelaki dipercayai sindiket ah long ditahan


Tiga lelaki dipercayai sindiket ah long ditahan dalam sebuah kereta ketika melakukan kerja memasang banting pinjaman wang tanpa lesen di Jalan Haji Abdul Rahman, kira-kira jam 10.30 pagi, kelmarin.

Tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hasil siasatan laporan polis dibuat seorang mangsa wanita berusia 29 tahun pada 17 Februari lalu yang mendakwa diganggu suspek akibat gagal melunaskan baki pinjaman.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek berusia 26 hingga 30 tahun dan salah seorang mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan mencuri serta cabul.

Menurutnya, tangkapan suspek membawa kepada rampasan 1,024 banting di sebuah rumah di Taman Saujana Kuantan selain dua pedang samurai, tukul, pemotong dawai, seluar pendek dan baju serta 14 dokumen peminjam.

"Polis percaya suspek adalah sindiket ah long yang aktif sejak setahun lalu dan agresif melakukan gangguan dengan membaling cat serta telur sebagai ugutan kepada peminjam.

"Kami masih melakukan siasatan bagi memburu saki baki sindiket yang menyasarkan peminjam dari kalangan peminjam swasta yang mempunyai slip gaji di sekitar daerah ini.

"Mereka menawarkan pinjaman antara RM1,000 hingga RM5,000 dengan kadar faedah lapan peratus," katanya.

Abdul Aziz berkata, ketiga suspek berasal dari luar Pahang itu direman tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 29B dan 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen 1951.

Hukuman di bawah Seksyen 5(2) atas kesalahan ganggu dan ugut memperuntukkan denda tidak kurang RM250,000 hingga RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi Seksyen 29B, boleh didenda tidak kurang RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Jika kesalahan berulang, boleh dikenakan sebatan.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor