Pages

Sunday, February 12, 2017

[KUANTAN] LEGA, SYUKUR RUMAH PUSAKA DIBAIKI


Lega, syukur rumah pusaka dibaiki


Hanya rasa syukur dan lega mampu diluahkan Mohd Ismail Abdul Rahman, 52, apabila rumah pusaka yang didiami tujuh beranak bersama ibunya, Zawiah Zinin, 70, dan juga adik bongsunya, Habibah, 24, di Kampung Ubai , dibaiki Pemuda Umno Pahang.

Rumah kayu yang dibina pada tahun 1967 itu bukan sahaja uzur malah kebanyakan daripada strukturnya seperti lantai turut rosak.

Setiap kali hujan, mereka terpaksa menadah air hujan menggunakan besen kerana atapnya yang bocor.

Mohd Ismail yang juga anak sulung daripada 15 adik-beradik tidak mampu membaiki kerosakan rumah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Jika hari hujan, kami bergilir-gilir tukar besen untuk tadah air. Itulah rutin kami sekeluarga yang perlu dihadapi.

"Alhamdulillah, selepas ini kami tak perlu berbuat begitu lagi," katanya ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Membaiki Rumah sempena program Ziarah Kasih Pemuda Umno Pahang.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Shahar Abdullah.

Turut hadir, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuantan, Nara Nordin Nikman.

Mohd Ismail berkata, dia amat berterima kasih kepada Pemuda Umno yang membantu keluarganya membaiki rumah berkenaan.

Katanya, keprihatinan pihak berkenaan tidak mampu dibalas.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata, program berkenaan merupakan pendekatan yang diambil anak muda untuk mendekati masyarakat setempat terutama golongan muda.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengadakan program ziarah kasih pada setiap minggu atau bulan di setiap bahagian.

"Ia termasuklah menziarah pemuda yang sakit dan miskin.

"Hasil daripada program itu, kita akan mencari jalan untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka yang memerlukan,"katanya.

Dalam pada itu katanya, program gotong-royong yang diadakan dapat mendekatkan golongan muda untuk melakukan kerja sukarela.

"Dalam masa sama, kos membaiki rumah juga dapat dijimatkan memandangkan Pemuda mempunyai pelbagai kemahiran yag boleh digembleng.

"Oleh itu, saya melihat program ini sebagai projek perintis untuk melihat keberkesanannya pada masa akan datang," katanya.

Pada program itu, kira-kira 100 pemuda dan belia terlibat membaiki rumah tersebut.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor