Seremban - Meskipun cucunya sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan jenayah dilakukan, namun kasih sayang seorang nenek sedikit pun tidak berubah dan menerima cucunya yang dijaga sejak kecil itu walaupun kini bergelar banduan.
Malah menjadi harapan Chong, 80 (bukan nama sebenar) agar cucunya Lee, 27 (bukan nama sebenar) yang dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan satu sebatan bagi kesalahan samun berkumpulan itu agar insaf dan tidak akan mengulanginya lagi.
Lee antara lapan banduan di Penjara Seremban yang terpilih untuk bertemu dengan ahli keluarga sempena program Jalinan Kasih Tahun Baharu Cina diadakan, semalam.
Menurut Lee, ketika isterinya tidak lagi mahu menerimanya, dia bertuah kerana nenek dan datuknya masih menyayanginya.
“Pada tahun lalu ketika saya di penjara isteri tiba-tiba minta cerai, saya tak tahu kenapa… mungkin kerana saya banduan.
“Saya tahu mereka (nenek dan datuk) kecewa dengan saya. Walaupun sudah tua dan tidak lagi kuat, tapi sejak dua tahun saya menjalani hukuman, mereka tidak pernah lupa datang melawat," katanya kepada Sinar Harian.
Setiap kali mengenangkan keprihatinan dan pengorbanan nenek dan datuknya, dia sedih dan berazam untuk menjadi seseorang yang lebih baik, sebaik sahaja dibebaskan daripada penjara.
Sempena Tahun Baharu Cina kali ini, Lee telah menghadiahkan neneknya cenderahati berbentuk udang sebagai tanda ingatan.
Sementara itu, banduan warga emas Feng, 63, (bukan nama sebenar) berharap, tahun ini menjadi tahun terakhir dia menyambut Tahun Baharu Cina di penjara.
“Saya dihukum penjara 15 tahun bagi kesalahan mengedar dadah. Ini bukan kali pertama saya masuk penjara, tapi kali ini saya betul-betul insaf.
“Dalam usia sebegini, saya hanya mahu berehat di rumah dan bermain dengan cucu-cucu saja. Mujurlah anak-anak masih menerima saya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Penjara Negeri Sembilan, Hafidz Othman berkata, banduan yang berkelakuan baik sepanjang menjalani hukuman layak dipilih bagi mengikuti program berkenaan.
Hadir sama, Pengarah Penjara Seremban, Muhammad Nazri Nasrudin dan Setiausaha MCA, Siow Koi Voon.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor