Bermula dengan mengikut ibunya, seorang pendaki gunung tegar, Hilmi Musa,28, akhirnya terjebak dengan aktiviti menawan puncak gunung sehingga ke hari ini.
Dulu, aktiviti ini hanya sekadar suka-suka atau hobi tapi sekarang ia sudah berubah menjadi kerjaya melalui syarikat yang diusahakannya, Mount Pro Malaysia sejak 2012 lagi.
Suatu pencapaian sebenarnya kerana Hilmi telah menawan hampir semua gunung yang terdapat di Malaysia dan Indonesia meskipun sibuk dengan pelajaran dan kariernya ketika itu.
“Pertama kali saya daki gunung ikut mak, Mariah Saat, 55, pada usia 8 tahun di Pulau Tioman, Simukut. Mak memang pendaki tegar. Dia dah tawan tujuh puncak tertinggi di Semenanjung ~ Gunung Kinabalu, Gunung Tahan, Gunung Korbu, Gunung Gayong, Gunung Yong Belar, Gunung Chamah dan Gunung Ulu Sepat. Gunung Kinabalu mak dah naik dua kali.
“Saya lambat sedikit dapat tawan tujuh puncak tertinggi itu sebab belajar dan bekerja tapi selesai semua 2007 hingga 2013.
“Kemudian pada tahun lalu, saya daki 27 puncak di Malaysia dan puncak gunung berapi tertinggi di Indonesia, Gunung Kerinci,” katanya kepada Sinar Harian.
Anak kelahiran Kampung Belukar Juling, Endau ini juga rupa-rupanya sudah menjejakkan kaki ke ‘Everest Base Camp’ atau Everest kecil di Nepal dan beliau tidak sabar untuk kembali, kali ini untuk menjejakkan kaki ke puncak tertinggi di dunia itu.
“Saya pergi secara solo 15 Disember 2015 dan kembali 18 Januari 2016. Apabila di sana saya bertemu satu kumpulan dari Malaysia dan menyertai mereka.
“Memang sasarannya nak sampai puncak tapi kami tidak dibenarkan naik atas faktor keselamatan susulan gempa bumi kecil.
“Memang kecewa tapi saya akan kembali ke sana untuk tawan puncak Gunung Everest, Insya-ALLAH dalam masa terdekat,” katanya.
Bercerita tentang perjalanannya ke Gunung Everest, Hilmi berkata, gunung di Malaysia lebih sukar untuk didaki namun cuaca menjadi cabaran utama di sana.
“Selain salji yang meliputi kawasan tersebut, masalah lain seperti altitude mountain sickness di mana dengan ketinggian lebih kurang 4,000 meter, cuaca terlalu sejuk dan oksigen kurang ia boleh bahayakan nyawa.
“Ada berpuluh ribu anak tangga perlu naik dengan beban beg yang dibawa 10 kilogram (kg) hingga 20kg selama empat hari. Ada juga laluan berbatu dan dikelilingi pokok buluh sebelum sampai ke ‘Base Camp’ pada ketinggian 5,000 meter,” ceritanya.
Menurutnya, empat hari lagi diperlukan untuk sampai ke puncak Everest dengan ketinggian 7,000 meter itu dari Everest Base Camp.
Hilmi mempunyai dua perancangan besar bagi bulan Mac tahun ini di mana beliau akan menjelajah lapan puncak dan gunung di Indonesia ~ Gunung Raung, Gunung Ijen, Gunung Bromo, Gunung Arjuna, Wilerang, Gunung Kerinci, Danau Gunung Tujuh dan Gunung Singgalang.
Manakala pada pertengahan tahun ini, anak sulung dari lima beradik ini bakal ke Gunung Kilimanjaro di Afrika Selatan.
Melihat hobinya yang sudah bertukar menjadi kerjaya sejak beberapa tahun lalu, Hilmi berkata, meskipun aktiviti ini dilihat bahaya oleh orang lain, namun ia sihat.
“Ruang ini saya gunakan untuk mencabar diri sendiri. Bukan saya saja, orang lain pun boleh gunakan ruangan sama,” katanya yang menjadi jurulatih program Jom Kurus 1Malaysia selama lapan musim.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor