Kluang - Sebuah mesin penyembur asap bagi menghapus aedes disumbangkan Pusat Khidmat Dun Kahang kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Contoh, Kahang, berikutan lokasi berkenaan dilanda banjir sebelum ini.
Penyerahan alatan itu bagi memastikan perkampungan berkenaan bebas aedes dan penyakit bawaan nyamuk, diserahkan oleh Adun Kahang, R Vidyananthan kepada Ketua Kampung Contoh, Mohd Nasir Mohd Noor.
Mohd Nasir berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan itu dan memberi jaminan akan memanfaatkan kemudahan mesin tersebut dengan baik dalam memastikan kesihatan penduduk terpelihara.
"Kita sedia menghantar beberapa penduduk untuk menjalani latihan semburan asap supaya dapat mengetahui cara dan teknik betul menggunakan alat berkenaan.
"Sememangnya kita harapkan kepada bantuan mesin ini kerana amat memahami dengan situasi sekarang. Ia akan digunakan dari semasa ke semasa namun mengikut skala dan peraturan ditetapkan oleh pihak berkenaan.
"Lebih membanggakan, hanya kampung ini mempunyai mesin semburan asap pada waktu ini. Walau bagaimana pun kami akan sentiasa memberikan kerjasama ke atas mana-mana pihak yang ingin mendapatkan perkhidmatan semburan asap pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Vidyananthan berkata, pemberian mesin penyembur nyamuk itu sebagai langkah pertama pencegahan demam denggi yang kebiasaannya menular sebaik kejadian banjir berakhir.
"JKKK Kampung Contoh akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Daerah Kluang dalam memastikan kerja-kerja penyemburan asap dapat dilakukan selepas sahaja masalah banjir berakhir.
"Kerjasama ini sebagai satu jalinan usaha sama di antara penduduk kampung dan agensi kerajaan di dalam menangani masalah aedes, yang kebiasaannya akan membiak dengan cepat dalam lopak yang masih menakung air selepas banjir surut.
"Jadi, satu tindakan bersama harus dilakukan bagi menghalang penyakit bawaan nyamuk ini menular di dalam kampung ini kerana ia turut boleh mengakibatkan kematian,” katanya.
Vidyananthan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia turut mengingatkan penduduk kampung supaya segera membersihkan kawasan air yang bertakung di sekitar kediaman.
Beliau berkata, langkah awal perlu diambil agar penyakit tersebut tidak menular ke kawasan lain selain mengamalkan menjaga kebersihan di rumah serta kawasan sekitar.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor