Kota Kinabalu - Kesemua 80 mangsa daripada 21 keluarga yang terlibat dalam kebakaran gerai makanan ringan popular di Kampung Tonsun, Kota Marudu, kira-kira 130km dari sini, malam tadi kini ditempatkan di dewan kampung itu.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata mangsa terdiri daripada 32 lelaki, 29 wanita, empat kanak-kanak lelaki, 13 kanak-kanak perempuan serta masing-masing seorang bayi lelaki dan perempuan.
Kebakaran kira-kira pukul 8.15 malam itu memusnahkan sederet 21 lot gerai yang turut menjadi kediaman pengusaha dan keluarga mereka di bahagian belakang.
Mohd Izaan berkata siasatan awal mendapati kebakaran bermula di sebuah gerai sebelum merebak ke gerai lain.
"Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku. Jumlah kerugian belum lagi dapat dianggarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Deretan gerai itu yang terletak di Simpang Tiga Langkun, Kota Marudu sering dikunjungi pengguna jalan raya dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat atau Kota Marudu.
Gerai kayu itu menjual pelbagai makanan ringan, terutama kekacang yang menjadi pilihan popular dalam kalangan pengunjung.
Mohd Izaan berkata Anggota Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Ongkili turut melawat tempat kejadian dan berjumpa mangsa terlibat.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor