Georgetown - Taktik sorang lelaki meletakkan dadah jenis syabu dalam bungkusan teh Cina tidak menjadi apabila dia ditahan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman, 26 Januari lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Chuah Ghee Lye berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan ketika membawa bungkusan dadah itu di sebuah pasaraya di Jelutong.
Menurutnya, ketika ditahan, suspek sedang membawa dua buah beg yang berisi plastik, didalamnya terdapat bungkusan dadah yang dibalut dengan pembalut teh Cina.
"Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah. Kita masih mencari rakan-rakannya yang lain. Ketika ditahan, dia sedang membawa dua buah beg dalam keadaan mencurigakan. Selepas pemeriksaan, didapati 10 bungkusan plastik berada dalam beg terbabit.
"Jika dilihat, suspek membungkus dadah itu dalam pembalut teh Cina seolah-olah ia hadiah sempena Tahun Baru Cina. Ia bagi mengaburi mata polis namun usahanya itu gagal selepas ditahan dan didapati, kandungan pembalut teh Cina itu merupakan dadah jenis syabu," katanya kepada media hari ini.
Ghee Lye berkata, suspek warga tempatan itu dipercayai ingin menghantar bekalan dadah itu kepada pihak lain ketika ditahan.
"Suspek merupakan ahli sindiket dadah yang aktif di Pulau Pinang dan Lembah Klang. Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak sebulan lalu. Dadah seberat 10.4 kilogram (kg) itu diproses di dalam negara dan hanya untuk pasaran tempatan.
"Setiap bungkusan seberat satu kilogram itu dijual dengan harga RM70,000. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM700,000 manakala kita turut menyita kereta Perodua Myvi milik suspek bernilai RM45,000," katanya.
Menurutnya, saringan air kencing suspek negatif dan suspek yang mempunyai satu rekod jenayah lampau itu direman sehingga 2 Februari untuk siasatan lanjut.
Ghee Lye berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor