Sintok - Yayasan Pelajaran Mara (YPM) akan digantikan dengan nama baharu iaitu Yayasan Mara mulai Januari tahun depan sebagai langkah transformasi untuk skop yang lebih meluas.
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata penukaran nama itu diputuskan dalam Mesyuarat Pemukiman Yayasan Pelajaran Mara di Langkawi semalam.
"Ini satu langkah transformasi yang akan kita lakukan kepada yayasan ini, meluaskan skop yang bukan sahaja untuk yayasan pelajaran atau aktiviti pelajaran semata-mata tetapi peranan dalam skop lain yang lebih luas.
"Setiap tahun Mara sumbangkan sebanyak RM20 juta kepada YPM dan dana itu akan kita perbesarkan lagi pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan majlis dialog bersama pelajar dan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.
Pada April lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan lima inisiatif bagi memperkasa hala tuju Mara bagi 50 tahun akan datang meliputi penubuhan Mara Corporation Berhad, Rural Capital Berhad dan UniMara.
Perdana Menteri berkata selain itu kerajaan akan menubuhkan Yayasan Mara bagi menggantikan YPM serta menukar nama Jalan Semarang yang terletak antara kompleks Pertama dengan Bangunan Mara di sini kepada Jalan Mara.
Najib dilaporkan berkata, penukaran YPM kepada Yayasan Mara bagi memantapkan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) iaitu memberi bantuan kebajikan lain seperti bantuan banjir dan kemarau dengan dana terkumpul setakat ini RM800 juta dan tidak hanya tertumpu kepada pelajaran sahaja.
Mengulas perkara itu Annuar berkata sejajar dengan itu Mara akan menumpu ke China yang kini merupakan kuasa baharu ekonomi dunia bagi menghantar pelajar ke negara itu dalam bidang kejuruteraan.
"Kita (Mara) juga akan turut menaja beberapa bidang pendidikan yang spesifik dan dianggap penting di peringkat master dan sarjana," katanya.
Sementara itu Annuar yang juga Ketua Penerangan Umno berkata kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyebut bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri interim sekiranya Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang merupakan satu tamparan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Sudah tentu ia bertentangan dengan keputusan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) yang tidak bersetuju jika Wan Azizah ini dilantik sebagai perdana menteri dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) akan akan berada di bawah Wan Azizah," katanya.
Annuar berkata perkara itu juga sudah tentu tidak akan disokong oleh Pas yang pernah membantah cadangan untuk meletakkan Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor satu ketika dahulu.
Beliau berkata keputusan itu juga memperlihatkan sikap DAP yang tidak mementingkan keputusan seperti itu yang sepatutnya diputuskan bersama gabungan parti pembangkang.
"Keputusan ini menjadikan pembangkang tidak mempunyai sebarang syor yang konkrit ," katanya.
Dalam pada itu, Umno Pulau Pinang menyifatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan Pakatan Harapan hanya akan mendatangkan masalah besar kepada gabungan pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata antara masalah utama yang akan dihadapi gabungan itu adalah pembahagian kerusi yang akan menyaksikan pertelingkahan dalam pakatan tersebut.
"Umno Pulau Pinang melihat situasi itu nanti sudah pasti akan berserabut... bagaimanapun kami mengucapkan selamat maju jaya kepada PPBM atas usaha mereka.
"Namun setiap anggota Umno harus ingat, kita tidak boleh ambil apa yang terjadi di antara pihak lawan sebagai peluang (untuk menang) tetapi UMNO perlu membina kekuatan sendiri untuk menang," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat bersama barisan kepimpinan Umno Pulau Pinang, di Nibong Tebal hari ini.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor