Pages

Friday, December 23, 2016

SUKAN SEA 2017: ATLET CUKUP MASA LATIHAN


Sukan SEA 2017


Atlet negara yang akan bertanding pada Sukan SEA 2017 diberi jaminan dapat menjalani latihan yang secukupnya di venue pertandingan di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, sesuai dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman berkata, kerja-kerja pembinaan Fasa Pertama Bandar Sukan Kuala Lumpur adalah mengikut jadual, dan kini 60 peratus siap, bagi membolehkan atlet membiasakan diri dengan gelanggang itu.

"Kerja-kerja itu mengikut jadual dan kami yakin ia dapat disiapkan menjelang Julai tahun depan atau disiapkan lebih awal. Sebaik sahaja menerima sijil untuk digunakan, atlet boleh memulakan latihan," katanya kepada pemberita di pejabat tapak projek berkenaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Stadium Hoki Nasional merupakan projek pertama yang akan disiapkan, iaitu pada akhir April tahun depan, selepas pemasangan padang rumput tiruan baharu, diikuti venue lain seperti Stadium Tertutup Putra, Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Nasional.

Azman juga percaya mempunyai masa yang mencukupi untuk menguji venue, peralatan, aspek teknikal dan penganjuran kejohanan pra Sukan SEA, sebaik sahaja fasa pertama siap, sebelum majlis perasmian Sukan SEA 2017 pada 19 Ogos.

"Kita akan berbincang dengan persatuan sukan kebangsaan untuk anjur kejohanan pra Sukan SEA. Kerja-kerja pembinaan mungkin dapat disiapkan sebelum jadual asal. Apabila MRCB (Malaysian Resources Corporation Berhad) menyerahkan stadium kepada kita, ia terus boleh digunakan. 

"Bagaimanapun, mereka perlu mendapatkan sijil daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa, Persekutuan Hoki Antarabangsa, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa dan Persekutuan Renang Antarabangsa dan sebagainya bagi memenuhi piawaian antarabangsa sebelum menyerahkan venue kepada kami," katanya.

Azman berkata padang Stadium Nasional berada pada tahap terbaik dengan keadaan penyelenggaraan yang kerap meskipun kerja-kerja pembinaan infrastruktur sekitarnya giat dijalankan.

Fokus projek fasa pertama adalah menaik taraf Stadium Nasional, Stadium Putra, Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Hoki Nasional, serta meningkatkan jaringan pengangkutan awam sedia ada, serta akses pejalan kaki di kawasan itu.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor