Pages

Wednesday, December 28, 2016

RAKYAT PULA BERI PANDANGAN MENGENAI ISU BR1M


BR1M


Shah Alam - Isu mengenai Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) mendapat perhatian banyak pihak termasuklah rakyat yang menerima bantuan itu sendiri.

Sebelum ini, Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pemberian BR1M itu merupakan satu rasuah telah membuatkan ramai pemimpin khususnya BN membidas semula kenyataan beliau itu.

Kini rakyat pula memberikan pandangan mereka mengenai isu tersebut, ada yang menyokong pemberian wang tersebut dan ada juga yang bersetuju dengan dakwaan bahawa BR1M itu rasuah.

Pengguna Facebook Said Ahmed menegaskan, BR1M itu merupakan bantuan Kerajaan Malaysia.

“Cuba lihat pada tajuk, ia kata Bantuan Kerajaan Malaysia, bukannya Rasuah Kerajaan Malaysia, kalau nak cakap rasuah, tidak perlulah terima bantuan apa-apa daripada kerajaan negeri mahupun Persekutuan,” tulisnya.

Bagi Tar Dusun pula sangat bersyukur dengan wang bantuan tersebut kerana ia sedikit sebanyak membantu kehidupannya

“Pada kami yang miskin ini bersyukur dengan rezeki yang diberi oleh itu tidak perlu lah ia disensasikan.

“Lagipun mereka yang menerimanya semua bangsa yang layak, mengenai isu memancing undi itu saya rasa terpulang pada individu untuk fikir apa,” katanya pula.

Sementara itu, O’rash Shah pula mengatakan bahawa pemberian BR1M itu membazir dan tidak perlu.

“Lihatlah, duit negara dilaburkan kepada rakyat yang tidak berkenaan dan kemudian tidak mendapat pusingan modal.

“Kesudahannya, naikkan harga minyak masak, barang-barang lain dan kenakan GST, akhirnya rakyat juga yang sengsara” tulisnya.

Bagi Zaini Aziz pula beliau berpendapat bahawa wang bantuan itu merupakan sogokan untuk memancing undi rakyat

“Hanya penerima rasuah sahaja yang kata BR1M itu bantuan dari kerajaan sedangkan ia adalah wang sogokan atau rakyat akan terus menyokong kerajaan sedia ada,” tulisnya pula.

Pengguna Facebook Mdzza Zaman pula meminta adakan satu pemeriksaan mengenai penerima BR1M ini untuk memastikan orang yang menerimanya adalah tepat.

“Cuba periksa penerima BR1M ini, adakah mereka ini benar-benar miskin atau hanya miskin buatan iaitu mereka yang malas bekerja dan sebagainya.

“Walaupun bukan semua penerima wang bantuan itu begini tetapi bilangan mereka agak ramai, mungkin boleh selidik perkara ini dengan lebih dalam,” tulisnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor