Tiga individu termasuk Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil ditahan kerana dipercayai mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Institusi Kesultanan Johor dalam dua kes berasingan semalam.
Dalam kes pertama, Shariffa Sabrina, 54, dan Pembantu Tadbir Peka, Norhayati Shahrom, 51, ditahan di sebuah premis di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor pada pukul 8.30 malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, penahanan itu dibuat ekoran laporan polis yang diterima pihaknya berhubung kenyataan jelik terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam Facebook, Selasa lalu.
“Kedua-duanya kini ditahan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen, Hidayah Abdul Manaf di sini hari ini dan kedua-dua wanita tersebut diwakili peguam, Siti Zabedah Kasim.
Terdahulu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di Jalan Puyuh Larkin Jaya, di sini pukul 6.45 petang semalam kerana mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Puteri Sultan Johor, Tunku Tun Aminah.
Menurut Wan Ahmad Najmuddin, pihaknya turut merampas sekeping kad sim dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat kenyataan jelek itu dalam Facebook.
Jelasnya, kes tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman sama.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi untuk mengeluarkan kenyataan palsu, menyakitkan hati, menganiaya, mengugut dan mengganggu orang lain.
Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor