Meskipun sibuk sebagai penuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dalam jurusan akauntan, namun ia tidak dijadikan halangan untuk Ahmad Azizuddin Abdullah, 22, dan Ahmad Zulhilmi Abdul Aziz, 22, mencari duit poket lebih dengan mengambil upah memotong rumput.
Mereka mengakui pada mulanya agak malu untuk melakukan pekerjaan itu, namun kini sudah mula selesa selain turut menyimpan hasrat membuka syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu suatu hari nanti.
Menurut Ahmad Azizuddin, idea berkenaan timbul selepas dia melakukan pekerjaan sama di negeri kelahirannya di Kelantan ketika cuti semester, Julai lalu.
“Saya mula terfikir nak ajak kawan ambil upah mesin rumput di sekitar kawasan Nilai sebab kebiasaannya kita nampak kerja ini dibuat oleh warga asing.
“Kami mula bincang secara serius dan bersetuju membeli sebuah mesin rumput dengan harga RM350,” katanya.
Bagi meguar-uarkan perkhidmatan ditawarkan, mereka turut mengedarkan risalah di kawasan perumahan berhampiran Usim dan menghebahkannya di laman sosial Facebook.
Sejak daripada itu, setiap minggu ada sahaja permintaan pelanggan yang mahu membersihkan kawasan rumah mereka.
“Biasanya kami tetapkan waktu bekerja antara jam 5 hingga 7 petang dan paling penting ia tidak mengganggu waktu kelas.
“Mula-mula kami buat hanya di kawasan sekitar Usim, tapi kurang sambutan. Kemudian kami luaskan kawasan perkhidmatan sehingga ke Sepang dan Salak Tinggi, Selangor.
“Terus terang cakap, pada awalnya agak malu sebab biasanya orang nampak pekerjaan mesin rumput ini ramai warga Bangladesh yang buat. Tapi lama-kelamaan mula rasa seronok sebab boleh kenal dengan ramai orang,” katanya yang menawarkan perkhidmatan itu sejak dua bulan lalu.
Kata Ahmad Azizuddin, kadar upah dikenakan bermula RM10 sehingga RM50 dan bergantung kepada keluasan kawasan.
Malah dia yang merupakan pelajar tahun akhir menyifatkan keputusannya mencari duit poket dengan cara itu adalah yang terbaik berbanding bekerja separuh masa di mana-mana restoran makanan segera atau pasar raya.
“Sebelum ini saya pernah kerja di restoran makanan segera, tapi agak susah sebab kita kena ikut waktu bekerja mereka.
“Tapi bila saya ambil upah mesin rumput ini, saya boleh tetapkan waktu sendiri. Bagusnya bila buat kerja macam ini, kami juga boleh keluarkan peluh,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan mengetahui yang mereka adalah penuntut Usim dan ada juga yang terkejut kerana pilihan kerja dilakukan.
Pada masa sama pelanggan turut memberikan kata-kata semangat dan jika mereka bernasib baik ada yang pemurah memberikan upah lebih.
“Sudah menjadi perkara biasa penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) buat bisnes, yang kebanyakannya jual barang. Tapi kami pula, pilih buat bisnes mesin rumput.
“Dari sini sebenarnya kita boleh timba pengalaman dan belajar banyak perkara baru dan paling penting ada kemahuan dan buang rasa malu," katanya.
Ketika ditanya berkenaan kerjaya yang akan dipilih sebaik tamat pengajian, Ahmad Azizuddin berkata, dia tidak lagi menetapkan dirinya untuk bekerja makan gaji sebaliknya meletakkan sasaran untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Banyak cara sebenarnya kita boleh jana pendapatan berbanding daripada makan gaji, cuma sama ada kita nak cuba atau tidak,” katanya.
Bagaimana pun Ahmad Azizuddin, terpaksa menghentikan perkhidmatan ditawarkan buat seketika kerana sedang sibuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor