Pages

Thursday, December 1, 2016

PAU2016: SESI PENGGULUNGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KEMBALI KEPADA TRADISI




Kuala Lumpur - Sesi penggulungan untuk Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan kembali kepada tradisinya iaitu ucapan penggulungan akan dilakukan oleh pucuk pimpinan utama parti.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu diputuskan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Majlis Tertinggi Khas parti yang diadakan malam tadi.

“Tahun ini kita balik kepada tradisi, anggota MT yang berkenaan akan diberi peluang, presiden (Najib) telah memberitahu tadi,” kata Annuar ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat itu.

Secara tradisinya, ucapan penggulungan antara lain dilakukan oleh ketua-ketua sayap, wakil anggota MT, wakil kerajaan, naib presiden, timbalan presiden dan presiden parti.

Pada tahun lepas, hanya presiden parti sahaja yang menggulung perbahasan dan membuat ucapan penangguhan.

Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden menjelaskan mesyuarat malam ini adalah mesyuarat biasa yang diadakan sehari sebelum perhimpunan agung esok (hari ini).

Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mesyuarat MT turut membincangkan mengenai usul-usul yang akan menjadi panduan kepada jurucakap-jurucakap pada perhimpunan agung esok.

“Usul-usul yang telah dikumpul sebelum ini Alhamdulillah telah diterima, ini bermakna semua usul yang disediakan boleh dibahaskan esok oleh perhimpunan agung,” kata Hishammuddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Usul dan Persiapan Perhimpunan Agung UMNO.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor