Pages

Friday, December 2, 2016

#PAU2016: KELUAR DARIPADA KEPOMPONG ILUSI JIKA MAHU MEMANG PRU14




Kuala Lumpur – Para anggota UMNO perlu keluar daripada kepompong ilusi, sikap ambil mudah dan terlalu yakin jika mahu kekal menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata seorang perwakilan UMNO semalam.

Wakil UMNO Melaka Mustafa Musa berkata UMNO perlu mengakui bahawa parti kini berada di hujung tanduk berikutan perubahan landskap politik dan pemikiran rakyat, dan jika tidak ditangani dengan baik tidak mustahil UMNO akan ditolak pada PRU14.

“Hari ini, realitinya, saingan UMNO terlalu sengit. Petualang telah jelas, tetapi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam, golongan ini amat bahaya kerana mereka adalah racun yang membinasakan parti.

“Ingatlah kata-kata Aristotle, seorang sarjana bahawa orang yang terlalu yakin dan terlalu selesa biasanya akan tewas sebab mereka tidak menyusun
strategi,” katanya ketika membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini semalam.

Sebaliknya, kata Mustafa orang yang merasakan dirinya lemah akan berakhir dengan kemenangan kerana mereka memerah keringat dan terus berusaha tanpa henti.

Sementara itu, perwakilan UMNO Perlis Che Zaidi Saidin berkata parti perlu meletakkan calon yang mempunyai kualiti serta kebolehan dalam memenangi hati rakyat bagi memastikan keputusan PRU14 memihak kepada UMNO dan BN.

Beliau berkata dalam keadaan dan situasi politik masa kini, UMNO tidak boleh mengambil mudah atau menggunakan pendekatan cuba-cuba dalam pemilihan calon.

“Tiada lagi istilah calon bidan terjun terutama untuk bertanding di kawasan kubu kuat pembangkang kerana ia akan menjejaskan peluang parti untuk menang.

“Pemilihan calon juga harus dilakukan mengikut pertimbangan serta pemilihan sewajarnya bukan berdasarkan cadangan daripada pelobi-pelobi yang mahukan orang tertentu mewakili kepentingan mereka,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor