Ibarat retak menanti belah, PAN sebuah parti serpihan daripada PAS, bertegas membuat keputusan untuk menolak keras cadangan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.
Ia susulan saranan aneh daripada Menteri Besar Selangor itu agar kedua-dua parti pembangkang kecil tersebut dapat bergabung bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang tidak berapa lama lagi.
Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata kehadiran parti itu dalam politik negara ini adalah berpendirian melanjutkan perjuangan lslam dengan pendekatan inklusif dan progresif yang dilihat tidak selari dengan PKR.
Sebaliknya pihak PAN, ujar bekas pemimpin kanan PAS itu, lebih rela bergerak secara bersendirian dengan berada bersama-sama parti pembangkang lain seperti PKR dan DAP di bawah gabungan rapuh Pakatan Harapan (PH).
“Saya sebagai mewakili pimpinan dan ahli-ahli parti merasakan bahawa isu penggabungan PAN dan PKR tidak pernah berbangkit sama sekali,” tegas Salahuddin yang dipetik oleh portal berita tempatan AgendaDaily.
Beliau seterusnya berkata: “Sekarang ini dengan kehadiran PPBM bersama PH telah menjadikan peranan PAN dan semua parti dalam PH dan PPBM semakin penting sebagai usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).”
Salahuddin berkata demikian menerusi satu kenyataan media pada Selasa sebagai merujuk cadangan Azmin semalam yang bertindak melulu menyokong cadangan Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR, Dr. Afif Bahardin.
Pemimpin PKR itu mengejutkan banyak pihak apabila mahukan supaya PAN dapat bergabung dengan partinya dan bersedia menyerahkan beberapa kerusi kepada PPBM untuk diletakkan calonnya pada PRU yang akan datang.
Bagaimanpun pandangan Menteri Besar Selangor itu dilihat berbeza dengan pendirian Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang menyifatkan idea itu masih terlalu awal untuk dibincangkan secara terperinci.
PAN kata bekas pemimpin UMNO itu, sepatutnya perlu diberikan ruang untuk mengembangkan sayapnya selepas baharu diwujudkan tahun lalu susulan perpecahan PAS dan pembubaran Pakatan Rakyat digantikan dengan PH.
Azmin sebaliknya memberi alasan kononnya cadangan pelik dikemukakan itu perlu diteliti pihak PAN kerana ia melibatkan soal kedinamikan parti dan sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap lebih terbuka.
Namun, penganalisis politik tempatan menyifatkan saranan lucu itu sebagai usaha terdesak Azmin untuk cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kemelut dalaman yang teruk melanda gabungan PH pada ketika ini.
Ia timbul selepas kegagalan Azmin memujuk PAS tidak meletakkan calon di kerusi ditandingi PKR, PAN atau PPBM pada PRU ke-14 bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor