Kota Tinggi - Pergaulan dengan rakan-rakan Cina ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, Batu Pahat, memberi kelebihan kepada Noraneza Adam, 33, apabila berjaya menubuhkan tadika berkonsep 1Malaysia dengan kolaborasi guru berbangsa Cina dan India.
Sehingga kini, tadika di Taman Sri Saujana mempunyai 50 murid, dengan majoritinya kanak-kanak berbangsa Cina, diikuti India dan Melayu.
Menurut Noraneza, kejayaan itu sebenarnya bermula dari bangku sekolah.
“Sejak di bangku sekolah, saya sudah bergaul dengan rakan-rakan Cina. Tak sangka pula, selepas sekian lama meninggalkan alam persekolahan, saya akan bekerja bersama rakan daripada kaum lain," katanya.
Kini, sudah lebih 10 tahun Noraneza berpengalaman mendidik anak murid berbilang kaum dan sepanjang tempoh itu, dia berpeluang bergaul dengan ibu bapa murid-muridnya dalam bahasa mereka dan akhirnya dia boleh bertutur bahasa Tamil dan Iban.
“Pada awalnya agak sukar juga, kerana sudah lama tak bercakap menggunakan bahasa lain. Apabila menjadi tenaga pengajar, bergaul dengan rakan-rakan Cina, seolah-olah saya sedang belajar semula bahasa Mandarin,” katanya.
Hormat kaum lain
Noraneza juga bersyukur kerana dikelilingi rakan India dan Iban, sekali gus memberinya peluang memperluaskan lagi kemahiran bahasanya.
Baginya, kehidupan penduduk berbilang kaum dalam negara ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap orang.
Ini kerana katanya, persefahaman yang berjaya dicapai melalui pergaulan, secara tidak langsung dapat menepis segala tanggapan negatif mengenai kaum lain.
“Isu perkauman tidak akan berlaku jika kita saling mengenali dan memahami rakan-rakan kita daripada kaum lain.
"Apabila kita berkawan dengan mereka, kita akan rasa hormat terhadap mereka. Kita harus berani mengambil langkah mendekati kaum lain. Jika tidak, sampai bila pun kita tidak akan bergaul dengan bangsa lain.
"Akhirnya, pemikiran negatif terhadap kaum lain terus melekat, dan dari situ akan timbulnya soal perkauman kerana tiada kemesraan antara satu sama lain,” katanya.
Seronok dikelilingi rakan pelbagai bangsa
Menjadi satu-satunya pemilik tadika Melayu yang berkonsep 1Malaysia di taman berkenaan, adalah tanggungjawab besar buat wanita gigih ini.
Namun katanya, dengan sokongan ahli keluarga terutama suami, Sayfunizam Miskon, 38, dan rakan, dia kini boleh berbangga dengan pencapaiannya.
Tadikanya menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin sebagai bahasa pengantar.
“Kanak-kanak seawal usia 4 tahun mempunyai minda umpama span yang akan menyerap apa yang dipelajari mereka, termasuklah proses pembelajaran melalui pergaulan, di samping diperkukuhkan dengan penulisan dan bacaan.
“Ia secara tidak langsung dapat menyediakan mereka terutama murid Melayu untuk memasuki alam persekolahan yang kini semakin mencabar,” katanya yang mempunyai dua anak dan turut fasih berbahasa Mandarin.
Tidak dinafikan, dia pernah dipandang rendah gara-gara masyarakat sendiri menganggapnya melebihkan rakan daripada kaum lain.
Namun, dia berjaya mengikis tanggapan negatif itu dengan sokongan yang diperoleh daripada rakan-rakan kaum lain.
“Alhamdulillah, saya seronok kerana rakan daripada kaum lain memahami dan sentiasa memberi sokongan.
Sejak berada dalam bidang ini dan mengenali kanak-kanak dan ibu bapa membuatkan saya menghargai kehidupan berbilang kaum.
“Kepada masyarakat di luar, jangan takut untuk bergaul dan berkomunikasi dengan kaum lain kerana yang penting, jangan ada rasa iri hati dan dengki sesama kaum dan juga dengan kaum lain.
"Marilah kita harmonikan dan membugarkan lagi kehidupan berbilang kaum yang ada dengan menghargai antara satu sama lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor