Pages

Monday, December 26, 2016

[MARAN] ANAK MENCARI WALI


cari


Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinannya Mac tahun hadapan buntu dan sedih kerana gagal mencari ayah kandungnya walaupun telah diusahakan pelbagai cara lebih enam bulan lepas.

Noraiha Raida Noh, 31, memberitahu berdasarkan rekod surat pranatal ibu, ayah kandung beliau bernama Harun Manan berusia 29 tahun ketika itu dengan nombor kad pengenalan 1325759 yang dipercayai dari Kelantan.

Manakala ibunya bernama Pauziah Jusoh dengan kad pengenalan 6719257 ketika itu berusia 25 tahun juga dipercayai dari Kelantan dan alamat akhirnya Kampung Sungai Rabit, Temerloh Pahang.

"Menurut cerita ayah angkat saya, Noh Awang, 63, ibu dan ayah kandung berselisih faham semasa ibu membuat rawatan pranatal di Pusat Kesihatan Temerloh dan mengisytiharkan menyerahkan saya kepada sesiapa sahaja apabila dilahirkan.

"Kebetulan ayah angkat Noh berada di situ berikrar untuk mengambil saya dan selepas tiga hari dilahirkan pada 1 Julai 1985 di Hospital Mentakab, saya diserahkan kepada keluarga angkat sekarang," katanya.

Perkahwinan beliau bersama pasangan pilihan akan tertangguh jika gagal mengesan bapa untuk menjadi wali.

Justeru beliau berharap perkara ini dapat diselesaikan segera keran Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang mensyaratkan supaya berita mengenai pencarian wali ini disiarkan dalam mana-mana akhbar sebelum melantik wali hakim.

"Walaupun saya tidak pernah mengenali ayah dan ibu kandung tetapi demi memenuhi tuntutan agama Islam keduanya terutama ayah dirayu hadir ke Mahkamah Syariah Chenor Maran, Pahang bagi perbicaraan permohonan perintah kebenaran berkahwin secara wali hakim.

"Lebih manis lagi jika ayah kandung yang tidak pernah ditemui dapat mewalikan sendiri pernikahan saya pada 26 Mac 2017 di Felda Jengka 23," katanya kepada pemberita.

Sementara itu menurut Noh, ayah dan ibu kandung anak angkatnya itu dipercayai peniaga dari Kelantan tetapi menghadapi masalah kewangan dan masalah keluarga menyebabkan terpaksa menyerahkan anak kepada keluarga angkat.

Noraiha dibesarkan oleh Noh dan isteri, Sharifah Awang, 48, dan menetap di Blok 4 Felda Jengka 23, Maran Pahang.

"Saya merayu ayahnya hadir dan menjadi wali pernikahan Noraiha pada 26 Mac 2017. Apatah lagi Noraiha sendiri sangat merindui ibu bapa kandungnya yang tidak pernah ditemui," katanya.

Sesiapa mengenalinya diharap segera menghubungi Noh Awang di talian 019-9570936 atau Nur Hafizah Mahmud di talian 017-9396963.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor