Buat julung kalinya, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) Felda Lepar Utara 3 menganjurkan Kursus Penyembelihan Halal bertempat di Dewan Semai Bakti Felda Lepar Utara 3, kelmarin.
Penganjuran melibatkan 180 peserta itu bukan sahaja melibatkan belia tanah rancangan berkenaan, malah dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Pengerusi MBFM Felda Lepar Utara 3, Mohd Norodzaime Affandy berkata, penganjuran kursus itu turut mendapat kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Maran dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Mohd Norodzaime berkata, kursus itu bertujuan memberi pendedahan tentang ilmu penyembelihan halal dan mewujudkan pelapis dalam kalangan belia yang boleh menjalankan ibadat korban.
“Jika kenduri atau ketika menjalan ibadat korban, kita akan bergantung kepada orang yang lebih berusia untuk memikul tanggungjawab melakukan penyembelihan.
“Selepas ini, kerja-kerja penyembelihan boleh dilaksanakan oleh golongan muda. Malah golongan muda juga boleh menjadi pelapis kepada generasi awal untuk kerja-kerja penyembelihan,” katanya.
Katanya, selain mendalami ilmu penyembelihan halal, kursus itu turut membuka peluang bagi golongan belia mengembangkan perniagaan dalam bidang membekalkan daging halal.
“Ilmu penyembelihan halal ini membuka ruang ekonomi buat golongan belia untuk membuka perniagaan daging halal yang lebih diyakini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan sekali gus berharap program seumpama itu dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.
“Pelbagai acara menarik disediakan termasuk sesi ceramah di sebelah pagi, latihan amali di sebelah petang dan cabutan bertuah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor