Pages

Sunday, December 25, 2016

LARANG BAS EKSPRES BEROPERASI 'WAKTU MENGANTUK'


Larang bas ekspres beroperasi 'waktu mengantuk'


Kuala Lumpur - Satu lagi kemalangan membabitkan bas ekspres yang meragut banyak nyawa tetapi seperti biasa tiada usaha serius dilakukan untuk memastikan perjalanan lebih selamat dan nampaknya tragedi yang berlaku pada masa lalu tidak dijadikan iktibar.

Inilah kesimpulan pahit yang dapat dirumuskan susulan nahas awal pagi tadi di Km137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Kampung Jayor di Muar apabila sebuah bas ekspres dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru hilang kawalan lalu terjunam ke dalam curam sedalam 10-meter, mengorbankan 14 orang dan 16 yang lain cedera.

Tragedi menjelang sambutan Krismas ini adalah satu daripada tragedi yang berlaku dari semasa ke semasa dalam dekad lalu yang mengorbankan banyak nyawa terutama semasa musim perayaan apabila permintaan bagi pengangkutan awam biasanya melonjak tinggi.

Situasi yang menyelubungi nahas adalah serupa iaitu kemalangan berlaku pada awal pagi apabila sistem tubuh badan kita "memberi isyarat' bahawa seseorang perlu tidur waktu itu dan bukan berada di jalan raya.

Jika kenderaan individu yang biasanya membawa hanya pemandu atau seorang atau dua penumpang, nahas itu mungkin kurang kritikal tetapi bagi bas ekspres yang membawa berpuluh-puluh penumpang, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengkaji secara serius untuk tidak membenarkan bas ekspres melakukan perjalanan pada waktu itu yang saya sifatkan sebagai "waktu tidak sesuai".

Hakikat bahawa nahas terbaru ini berlaku pada pukul 3.30 pagi jelas menunjukkan bahawa tertidur semasa memandu atau kurang tidur ialah kemungkinan punca nahas tetapi dalam kes ini, pemandu bas tidak dapat memberitahu kepada polis apa yang sebenarnya berlaku kerana dia juga terkorban.

Dan pada waktu yang biasanya waktu tidur itu, seseorang boleh membuat andaian bahawa kebanyakan penumpang, jika tidakpun semua sedang nyenyak tidur.

Tertidur ketika memandu atau kurang tidur ialah isu yang jarang dibincangkan pada forum awam mengenai keselamatan jalan raya atau semasa kempen keselamatan

jalan raya di Malaysia tetapi saya membuat andaian dalam kes ini bahawa ia punca utama kematian yang semakin meningkat di jalan raya.

Fenomena ini membabitkan mengendalikan kenderaan bermotor dalam keadaan "tidak berjaga" sepenuhnya kerana kekurangan tidur atau tidak cukup tidur yang boleh menjejaskan otak manusia seperti juga alkohol.

Kurang tidur telah terbukti menjejaskan keupayaan pemanduan dalam tiga situasi iaitu menganggu penyelarasan, mengambil masa yang lebih lama untuk tindak balas dan menjejaskan pertimbangan walaupun mengantuk hanya untuk beberapa saat sahaja.

Di Amerika Syarikat, kira-kira 250,000 pemandu tertidur semasa memandu setiap hari, dan fenomena ini ialah faktor yang menjadi punca lebih 100,000 kemalangan berlaku setiap tahun yang menyebabkan lebih 1,500 kematian dan 40,000 kecederaan.

Setahu saya, walaupun sebilangan besar kenderaan berada di lebuh raya semasa "waktu mengantuk" ini, tiada dapatan kaji selidik yang dikeluarkan mengenai perkara ini ataupun jika kaji selidik seumpama itu memang telah dijalankan.

Di Amerika Syarikat, dianggarkan antara 16 peratus dan 60 peratus daripada semua kemalangan berpunca daripada kurang tidur dan kemalangan yang berkaitan kemungkinan besar berlaku pada awal pagi hingga tengah hari dan ia menjadi masalah utama di kalangan pemandu trak dan juga pemandu kenderaan tentera.

Di United Kingdom, seseorang pemandu boleh disabitkan menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya jika pihak pendakwa dapat membuktikan bahawa pemandu terbabit kekurangan tidur dan menyebabkan kematian orang lain kerana tertidur ketika memandu.

Di Malaysia, anggota polis trafik atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sering dilihat mengadakan sekatan jalan terutama selepas tengah malam tetapi sekatan jalan itu lebih tertumpu untuk memeriksa sama ada cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh atau memburu suspek.

Kita juga mempunyai pelbagai papan tanda mengenai had laju dan terkini ialah papan tanda digital mengenai kesesakan lalu lintas di jalan-jalan tertentu tetapi tiada langsung papan tanda yang memberi peringatan kepada pemandu mengenai bahaya tertidur ketika memandu.

Nahas jalan raya paling buruk di Malaysia berlaku pukul 4.20 pagi pada 13 Ogos, 2007 apabila sebuah bas ekspres, juga dalam perjalanan dari Johor Bahru, terbabas sebelum terbalik dekat Bukit Gantang di Perak, menyebabkan 20 orang maut termasuk pemandu bas.

Menurut seorang lagi pemandu iaitu V. Veeraman, pemandu bas Rohizan Abu Bakar, telah memandu sejauh 700 kilometer untuk tempoh melebihi sembilan jam dan hanya sempat berehat seketika pada hari itu.

Walaupun peraturan dua pemandu dilaksanakn, tetapi ia diketepikan dan yang peliknya menurut Veeraman, beliau sendiri nyenyak tidur apabila tragedi itu berlaku.

Dalam satu lagi nahas membabitkan bas ekspres pada 26 Disember 2009, 10 penumpang maut apabila bas terbabit merempuh tiang plaza tol Ipoh.

Pemandu bas, Mohd Kamil Rashid memberitahu polis bahawa dia mengantuk ketika nahas itu berlaku. Tetapi alasan mengantuk tidak dapat diterima bagi membela diri dan Mohd Kamil dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun.

Walaupun banyak faktor dipersalahkan bagi kemalangan maut membabitkan bas ekspres, saya ingin mengulangi bahawa pemandu yang mengantuk adalah punca utama nahas, sama ada majikan mereka menerima hakikatnya atau tidak.

Dan ini harus mula menyedarkan pihak berkuasa keselamatan jalan raya untuk berfikir di luar kotak dan mengambil beberapa tindakan drastik dan tidak sebaliknya berpuas hati dengan "status quo" yang hanya boleh menyebabkan berlaku lagi kemalangan dan kematian.

Tetapi apakah langkah-langkah yang diambil oleh majikan pemandu bas mengenai perkara ini? Terlalu sedikit jika ada dan jika pun berbuat demikian, ia sudah terlambat.

Pihak berkuasa juga selama ini masih tidak melaksanakan peraturan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang bas.

Mengapa? Jika peraturan tali pinggang keledar itu yang diwajibkan telah lama dilaksanakan bagi pemandu dan penumpang kereta, tetapi mengapa peraturan itu tidak diwajibkan ke atas bas memandangkan bas membawa lebih ramai penumpang dan jika berlaku kemalangan, ramai yang terkorban seperti berlaku hari ini?

Pemakaian tali pinggang keledar boleh menyelamatkan banyak nyawa kerana dalam nahas bas, penumpang biasanya akan tercampak keluar.

Berapa banyak lagikah kemalangan yang akan berlaku, baru kita dapat melihat langkah-langkah pencegahan seperti melarang bas ekspres melakukan perjalanan semasa "waktu mengantuk" dan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang dikuatkuasakan?


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor