Pages

Tuesday, December 20, 2016

[KUANTAN] ANAK PENEROKA FELDA DAPAT 11A


Anak peneroka Felda dapat 11A


Pelajar cemerlang Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, Fatin Nabila Mohd Suhairi, 15, yang memperoleh keputusan cemerlang 11A membuktikan bahawa anak peneroka Felda mampu memperoleh kecemerlangan dalam pendidikan.

Fatin Nabilah dari Felda Lepar Hilir 3 menjadi satu-satunya pelajar di sekolah itu yang memperoleh 11A dengan satu subjek tambahan iaitu Bahasa Arab.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia memotivasikan dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh demi untuk membalas jasa kedua ibu bapanya yang bekerja sebagai peneroka.

Menurutnya, pengorbanan ibu bapanya, Mohd Suhairi Abu Zaidi, 52, dan Norizan Ali, 51, tidak mungkin terbalas namun hanya kejayaannya menjadi balasan.

“Saya terkejut dengan keputusan ini namun amat bersyukur kerana doa saya selama ini dimakbulkan ALLAH.

“Ternyata usaha keras sebelum ini berbaloi dengan keputusan 11A. Sebagai anak peneroka, saya mahu mengangkat martabat anak Felda yang boleh bersaing dengan cemerlang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan PT3 di SMK Alor Akar, di sini semalam.

Hadir sama, Pengetua SMK Alor Akar, Noor Azhari Yahya.

Fatin Nabilah turut menjadikan abang keduanya, Mohd Fauzan, 24, yang merupakan seorang peguam sebagai idolanya.

Dia yang tinggal di Asrama Semai Bakti Felda berkata, dia membahagikan masa dengan bijak supaya dapat mengulang kaji semua subjek dengan sistematik.

“Kegagalan memperoleh A bagi subjek Bahasa Melayu ketika UPSR dahulu juga membuatkan saya berusaha bersungguh-sungguh kali ini. Malah keputusan ketika peperiksaan percubaan juga hanya 5A,” katanya.

Pelajar cemerlang 9A 1B, Inez Aleeya Zulkiflee, 15, pula berkata, dia tidak menyangka terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Kementerian Pendidikan di atas kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

Anak sulung daripada empat beradik itu merupakan aktif dalam Bahas Bahasa Inggeris sehingga di peringkat kebangsaan dan mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Piala Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad tahun ini.

“Penglibatan saya dalam pertandingan bahas memerlukan pembahagian masa yang bijak kerana banyak pertandingan yang disertai adalah di luar Kuantan. Justeru, saya perlu ulang kaji pelajaran yang tertinggal,” katanya.

Sementara itu, Noor Azhari berkata, keputusan PT3 sekolah itu mencatat peningkatan membanggakan dengan Gred Purata Sekolah 1.90 berbanding tahun lalu iaitu 2.05.

Beliau berkata, seramai 120 calon daripada 126 yang menduduki PT3 berjaya lulus semua mata pelajaran.

“Peningkatan prestasi ini membanggakan pihak sekolah kerana ia membuka jalan untuk kita mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada masa akan datang,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor