Pages

Tuesday, December 27, 2016

KUALA TEMERLOH JADI PEKAN SIBUK


Kuala Temerloh jadi pekan sibuk


Pahang kaya dengan kepelbagaian nilai sejarah yang tersingkap di setiap daerahnya baik yang terus dipertahankan mahupun kian dilupakan.

Mungkin ramai yang tahu kisah-kisah tokoh pahlawan Pahang seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Datuk Bahaman berdasarkan kisah-kisah yang dibukukan, namun ramai lagi pahlawan Pahang yang tidak didendang sedangkan jasa dan peranan mereka amat penting.

Begitu juga dengan tinggalan sejarah lain yang suatu ketika menjadi ‘rupa’ sebuah kehidupan masyarakat di negeri ini namun dek peredaran masa, sebahagiannya terpaksa ‘dikorbankan’ atas nama kemajuan.

Sejarah adalah kehidupan lalu yang sewajarnya dipertahankan dan didokumentasi untuk diwarisi bagi tatapan generasi selepas zamannya.

Tidak dinafikan ada usaha itu namun sayangnya banyak nilai sejarah yang sekadar dipertahankan pada lisan yang akhirnya terkubur begitu sahaja.

Bagi menyingkap sebahagian sejarah yang dilupakan ini, Skuad Sinar Harian, Mohamad Feisal Mohamad Narawi (Temerloh), Norhafizan Zulkifli (Jerantut), Norfarhiza Mohd Atar (Lipis) dan Fairus Mohd (Raub) menjejaki ‘sejarah’ yang ada di daerah masing-masing agar ia terus diingati dan dipertahankan oleh generasi muda.

Semuanya disebabkan kebijaksanaan Panglima Bagus

Di beberapa perkampungan tradisional Melayu sekitar daerah ini khususnya di sepanjang Sungai Pahang ada beberapa kawasan perkuburan lama yang mana kebanyakan penduduk kampung itu sendiri tidak tahu sejak bila kewujudannya.

Di setiap perkuburan ini terdapat antara lima ke sepuluh buah sahaja kubur dan kebanyakannya terletak di dalam tanah milik penduduk kampung dan bukan seperti perkuburan sekarang ditempatkan di atas tanah yang digazetkan kerajaan.

Di Kampung Melayu lama seperti Badok, Berhala Gantang, Bangau Tanjung, Bangau Parit, Buntut Pulau dan beberapa perkampungan lama di Lanchang memang wujud tanah kubur lama ini.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa lokasi di sekitar daerah ini menemui beberapa kubur lama yang dikatakan penduduk setempat mempunyai keramatnya kerana ia milik beberapa alim ulama terkenal sekitar 1700.



Sungai Temerloh di Kuala Temerloh dekat Kampung Tanjung Batu menjadi lokasi penempatan Panglima Bagus sekitar 1700.

Salah satu kawasan perkuburan yang ditemui ialah di Kampung Bangau Parit yang mana sehingga hari ini tidak ada siapa yang tahu ia milik siapa.

Namun berdasarkan tinjauan pendapat dan kajian bersama penduduk tempatan serta pengkaji sejarah mengesyaki salah satu kubur di kampung itu milik Panglima Bagus.

Seorang pengkaji sejarah Zainal Abidin Lebai Hassan berkata, Panglima Bagus dilahirkan sekitar tahun 1700 adalah anak Datuk Matang di Perak.

Selepas beberapa persinggahan di Pekan dan Chenor tidak berkenaan di hatinya, Panglima Bagus kemudian singgah di Tanjung Keramat.

“Tanjung Keramat adalah sebuah kampung yang dibuka Datuk Suji Bilang, Tok Kaya di Temerloh pada awal 1700M,” katanya.

Zainal Abidin berkata, Suji Bilang atau nama sebenarnya Mohamad Abu Bakar adalah seorang lelaki yang bukan sahaja alim tetapi mempunyai kemahiran dalam ilmu persilatan.

Menurutnya, nenek moyang Suji Bilang bernikah dengan anak Tok Perkasa bangsawan Chenor dan kemudian tinggal di Mengkarak dan memegang gelaran Tok Mengkarak.

Zainal berkata, ketika memohon perkenan Batin Saridon untuk membuka perkampungan baharu di Tanjung Keramat, Suji Bilang dihalang oleh Batin Saridon iaitu ketua masyarakat Orang Asli yang tinggal di Gunung Senyum.

Menurutnya, Suji Bilang kemudian bertarung dengan Batin Saridon dengan ganjaran jika menang akan berkahwin dengan anak perempuan Batin Saridon dan mengislamkannya tetapi jika kalah Suji Bilang beredar.

Zainal Abidin berkata, berbalik kepada kisah Panglima Bagus, bangsawan itu kemudian meminta izin dari bapa mentuanya Datuk Suji Bilang untuk membuka kampung di satu kawasan berhampiran dengan Kampung Tebal dan Tanjung Batu.

Katanya, apabila diperkenankan oleh bapa mentuanya maka kampung tersebut dinamakan Kampung Kuala Temerloh.

Menurutnya, nama Temerloh diambil oleh beliau dari nama Temerloh yang terdapat di negeri Perak, dan kawasan di bawah tadbirannya dinamakan mukim Perak.

Zainal Abidin berkata, oleh kerana kebijaksanaan Panglima Bagus, maka dalam masa yang singkat Kuala Temerloh menjadi sebuah pekan yang sibuk, akan tetapi oleh kerana pada masa itu orang Melayu dan Cina belum boleh duduk bersama kerana pegangan agama, maka orang-orang Cina membuka sebuah penempatan bagi tujuan berniaga di seberang sungai Pahang.

“Anak cucu Panglima Bagus kebanyakannya tinggal di Kampung Seberang Temerloh dan sebahagian mengikut Tok Shahibudin pengasas Kampung Berhala Gantang tinggal di Kampung Berhala Gantang.

“Di antara anak cucunya yang terkenal termasuklah Kadi Ibrahim Kadi Besar Pahang (1900), Kadi Ahmad iaitu Kadi Temerloh (1920) dan Tuan Guru Hasanuddin Mohammad (2005),” katanya yang banyak merujuk bahan sejarah melalui Syair Asikin dan orang-orang terdahulu.

'Kubur mungkin milik tokoh besar'

BAGI Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup dan Tokoh Lagu-Lagu Rakyat Profesor Datuk Aripin Said berkata, memang wujud banyak peninggalan kubur-kubur lama di daerah Temerloh.

Menurutnya, berdasarkan perkembangan Islam, penduduk, dan syair kemungkinan besar dua kubur yang yang dirujuk iaitu di Kampung Bangau Parit dan Tanjung Keramat adalah milik dua tokoh besar sekitar tahun 1600 dan 1700.

Menurutnya, di Pahang, tokoh-tokoh besar dahulu kala mempunyai pakej lengkap iaitu seorang ulama, pahlawan dan juga pujangga.

“Perkampungan Suji Bilang di Tanjung Keramat satu ketika dahulu sememangnya masyhur dengan pusat perkembangan agama hingga ia merebak ke beberapa perkampungan lain di kawasan sekitar.

“Tidak mustahil kubur yang ada di Tanjung Keramat adalah milik Suji Bilang dan tidak mustahil juga kubur lama di Kampung Bangau Parit adalah milik Panglima Bagus,” katanya.

Bagaimanapun Aripin yang juga bekas Pensyarah Pendidikan Bahasa dan Sastera di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, andaian yang diceritakan melalui orang lama dan syair itu perlu dikaji lebih mendalam oleh mereka yang berkemahiran.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor