Di abad ini, mungkin tidak ramai masih menyimpan buku sastera klasik Melayu lama, apatah lagi jika buku terbabit ditulis dalam tulisan jawi.
Bagaimanapun, seorang warga emas Mat Dilu Selat, 69, masih menyimpan sebuah buku tinggalan arwah bapa mertuanya dengan cermat dan rapi.
Difahamkan, buku sastera Syair Siti Zubaidah itu dikatakan diterbitkan sekitar kurun ke-19 oleh penulis tidak diketahui, iaitu sebelum kisah Siti Zubaidah difilemkan.
Mungkin sesetengah generasi lama masih mengingati filem Siti Zubaidah diterbitkan pada 1961 lakonan Nordin Ahmad dan Datuk Maria Menado yang diadaptasi adaptasi daripada buku syair tersebut.
Mat Dilu yang tinggal di Kampung Paya Garok berkata, apa yang difilemkan, hanya sebahagian kisah diceritakan dalam buku Syair Siti Zubaidah.
“Ramai yang tahu, dalam filem Siti Zubaidah, ia mengisahkan tentang Siti Zubaidah yang cuba menyelamatkan suaminya dan kisah seorang raja dikenali sebagai Sultan Zainal Abidin yang meminatinya.
“Tapi dalam buku Syair Siti Zubaidah ini, kisah permulaan Siti Zubaidah, bermula dari Sultan Zainal Abidin dilahirkan sehingga bertemu dengan Siti Zubaidah,” katanya.
Menurutnya, dia menyimpan buku itu sejak kira-kira 50 tahun lalu dan ia sudah kehilangan muka surat pertama dan kedua, malah kulitnya terkoyak serta ada tulisannya hilang.
“Saya dapat daripada bapa mertua saya, Kasim Tepot yang berasal dari Jawa Indonesia ketika saya berusia sekitar 19 atau 20 tahun.
“Kisah Siti Zubaidah ini sangat sedih, tapi ia lebih dihayati sekiranya dibaca dengan nada bersyair. Bahasa digunakan juga bahasa Melayu lama. Kalau orang sekarang mungkin tidak faham,” katanya.
Mat Dilu berkata, dia tidak berhajat untuk menyerahkan atau meminjamkan buku terbabit kepada mana-mana pihak termasuk menjualnya walaupun ditawarkan harga tinggi.
“Sebelum ini, selain buku Syair Siti Zubaidah ini, saya juga ada menyimpan buku-buku lain seperti hikayat pahlawan Hang Tuah dan Hang Jebat.
“Tapi ketika itu ramai yang pinjam kerana nak baca, tetapi selepas dipinjamkan buku-buku itu hilang begitu sahaja. Jadi selepas ini saya memang takkan bagi dah orang lain pinjam,” katanya.
Warga emas itu berkata, buku itu dijaganya dengan baik walaupun ketika banjir besar melanda kampungnya pada 2014.
Katanya, dia berharap generasi seterusnya akan terus menjaga buku terbabit sebagai tinggalan sejarah meskipun kebanyakan generasi kini tidak pandai membaca tulisan jawi.
“Memang payah nak cari orang muda yang pandai baca jawi. Jadi lepas ini tidak tahulah kalau anak-anak dan cucu akan terus simpan buku ini. Saya harap mereka jaga buku ini kerana zaman ini sudah payah nak jumpa buku sebegini dijual di mana-mana,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor