Pages

Sunday, December 25, 2016

HASRAT CAT NISAN TAK TERCAPAI


Hasrat cat nisan tak tercapai


Hulu Terengganu - Keinginan seorang remaja mengecat batu nisan rupanya menjadi petanda dia akan pergi menghadap Ilahi dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Mengkawang-Tersat di Kampung Menerong kira-kira 1.30 pagi malam kelmarin.

Muhammad Radzlan Mohd Samsudin, 20, yang menunggang motosikal jenis RXZ maut selepas terlanggar seekor kerbau ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Menerong setelah bertemu rakan-rakannya.

Ibu mangsa, Yukasuma Md Yusof, 43, berkata, sejak akhir-akhir ini anaknya banyak menonton video berkaitan kematian akibat kemalangan melalui Youtube.

Menurutnya, sebelum anak ketiga daripada lima beradik itu keluar dari rumah selepas Isyak, arwah sempat bergurau dengannya selain turut mengajukan soalan berkaitan hukum main terup secara ‘suka-suka’.

“Arwah memang suka cuit hidung saya, rupanya malam kelmarin gurauannya yang terakhir. Kebelakangan ini saya memang rasa tidak sedap hati, seolah-olah akan kehilangan seseorang sehinggakan sering berteka-teki serta bermain dengan perasaan sendiri.

“Rasa akan kehilangan itu kini terjawab, rupanya ALLAH SWT lebih menyayangi Muhammad Radzlan. Selepas semua ini terjadi, barulah kita terfikir tentang hasratnya untuk cat batu nisan selain banyak bercakap tentang perkara keagamaan," katanya.

Katanya, anaknya itu baru sahaja selesai pengajian di Institut Pertanian Ayer Hitam, Johor dan majlis konvokesyen berlangsung Oktober baru-baru ini.

“Biarpun begitu terasa kehilangannya, namun kami semua reda ketentuan-NYA. Arwah sebenarnya baru habis belajar,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara arwah iaitu Abd Halim Mat Shah, 53, berkata, kemalangan berlaku hanya kurang lima minit selepas arwah meninggalkan pos keselamatan di kampung Gunung untuk pulang ke rumah selepas berkumpul bersama rakan-rakannya.

“Arwah dan rakan-rakannya selalu berkumpul di pos keselamatan tempat saya bertugas, lagipun ia tidak jauh dari rumahnya. Hati saya kuat mengatakan anak saudara ini terlibat kemalangan setelah enjin motosikalnya tiba-tiba senyap selepas bunyi dentuman.

“Tidak melengahkan masa saya terus bergegas ke lokasi kejadian terletak hanya beberapa meter daripada pos keselamatan dan ternampak seekor kerbau terbaring atas jalan. Namun, arwah tidak kelihatan apatah lagi kawasan kemalangan itu gelap.

“Hanya beberapa ketika selepas itu barulah jumpa anak saudara saya yang tercampak akibat kemalangan. Arwah sudah tidak bergerak pada waktu itu lalu dibawa ke hospital dengan kereta seorang penduduk kampung, namun ALLAH lebih sayang padanya,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor