"Bukan raih simpati, tapi inilah realiti yang kami lalui sekarang." Demikian luahan pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Afandi Hamzah berhubung dakwaan yang mengatakan badan induk itu hanya mencipta sandiwara dengan meraih simpati bagi mendapatkan dana kewa-ngan daripada kerajaan negeri.
Afandi berkata, semua pihak berhak memberi panda-ngan masing-masing kerana mereka tidak berada di situasi pasukan yang berdepan masalah kewangan.
"Sudah tentu kita tak dapat lari daripada andaian, terserah kepada mereka untuk buat penilaian.
"Tapi, realitinya inilah yang sebenar di mana pasukan yang menyertai Liga Malaysia memerlukan kewangan yang mencukupi, jika tidak ia akan menjejaskan penyertaan pasukan," katanya ketika ditemui selepas Undian Piala FA 2017 yang berlangsung di Shah Alam, semalam.
Kelmarin, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak sikap beberapa pasukan yang cuba meraih simpati dengan mengancam menarik diri demi mendapatkan wang daripada kerajaan negeri.
Bagi Tunku Ismail, kemelut yang melanda ketika ini tidak lebih daripada sandiwara.
Sebelum ini, Kelantan, Perlis dan Selangor berhasrat untuk menarik diri kerana tidak mampu menyediakan dana yang mencukupi bagi pengurusan mereka dalam menghadapi liga musim 2017.
Dalam pada itu, Afandi turut menyambut baik pertemuan yang mahu dilakukan kerajaan negeri dan berharap ia memberi hasil yang positif bagi menyelamatkan masa depan bola sepak negeri tersebut.
"Buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya beri jaminan yang Kelantan tidak akan tarik diri, segala keputusan kita akan putuskan melalui Kongres Kafa yang akan diadakan pada 29 Disember ini.
"Cuma buat masa ini, kita masih berusaha pada masa sama berharap mana-mana pihak tampil mahu menjadi penaja pasukan Kelantan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor