Georgetown: Seorang pemilik rumah mampu milik di Gelugor yang berang dengan tindakan jirannya menyewa unit bersebelahan kepada orang asing, menghantar nota bantahan kepada kerajaan Pulau Pinang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
K L Soh, 50, yang bosan selepas kehabisan semua saluran mengadu, memutuskan untuk berjumpa exco negeri yang menjaga hal ehwal perumahan, Jagdeep Singh Deo.
Beliau bagaimanapun tidak dapat menemui Jagdeep dan bertindak menyerahkan satu dokumen berhubung kebimbangannya kepada wakilnya, Fakhurrazi Ibnu Omar.
“Saya sudah mengadu kepada hampir setiap orang – Biro Aduan Awam, majlis perbandaran, Jagdeep, semua orang. Tetapi sehingga hari ini, tiada tindakan diambil.
“Saya sedih untuk mereka yang memohon rumah mampu milik apabila kita ada orang yang menyewa rumah mereka RM200 sehari. Ada yang tinggal lebih 2 bulan.
“Saya juga bimbang dengan keselamatan saya kerana orang asing berulang-alik di sepanjang koridor setiap hari, dengan ada yang mengotorkannya juga.
“Ada yang biadap kerana mereka menghempas pintu dan membuat bising,” kata wanita kelainan upaya itu kepada wartawan di luar bangunan DUN hari ini.
Di Pulau Pinang, pemilik rumah mampu milik tidak dibenarkan menjual atau menyewa rumah mereka selama 10 tahun. Pemilik juga perlu mendiami rumah terbabit.
Pangsapuri Soh masih baharu dengan penduduk berpindah ke sana kira-kira setahun lalu.
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Huan Cheng Guan yang menemani Soh berkata, penguat kuasa perlu mengadakan rondaan bagi memastikan pemilik tinggal dalam rumah mampu milik mereka.
“Kita ada hampir 20,000 pemohon rumah mampu milik dalam senarai menunggu. Ini amat tidak adil kepada mereka,” kata Huan.
Soh berkata, beliau sudah mengadu kepada Pesuruhjaya Bangunan dan badan pengurusan bersama pangsapuri terbabit.
“Mereka tahu mengenai masalah itu. Tetapi mereka belum menyelesaikan masalah itu. Saya sudah tinggal di sini 19 bulan. Saya sudah e-mel kepada Jagdeep, tetapi beliau tidak balas.
“Pada Februari tahun ini, selepas saya mendapat bantuan MCA, pejabat Jagdeep membalas e-mel saya. Menurut e-mel itu, mereka akan ambil tindakan. Tetapi sehingga hari ini, tiada apa yang berlaku,” katanya.
Baru-baru ini, Parti Cinta Malaysia mendedahkan blok pangsapuri Soh itu turut didiami orang kaya,s selain banyak unit disewakan melalui laman web hartanah secara dalam talian.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor