Kuala Lumpur – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin parti itu tidak akan tergugat walaupun kini berdepan pelbagai ujian, termasuk serangan daripada bekas pemimpin yang berpaling tadah.
Hishammuddin berkata kesatuan anggota UMNO yang dididik berpegang kepada prinsip meletakkan keutamaan parti melebihi kepentingan individu, menjadi sandaran dan tonggak parti dalam mengharungi cabaran sejak ditubuhkan 70 tahun lepas.
“…kerana itu kita dapat berhadapan dengan perhimpunan kali ini dalam keadaan rumah tangga kita masih lagi dapat kita pertahankan.
“Menjadi harapan saya kita keluar daripada Perhimpunan Agung UMNO tahun ini, orang akan dapat melihat UMNO sebagai satu wajah, satu parti, satu institusi dan kita masih berada dalam satu saf yang mantap,” katanya dalam temubual khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, baru-baru ini.
Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan, berkata perkara penting dalam perhimpunan kali ini ialah UMNO perlu melihat kepada kekuatan sendiri, dan apa perlu dilakukan adalah memastikan parti terus dipertahankan dan mampu menempuh cabaran berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Hishammuddin berkata Perhimpunan Agung UMNO kali ini juga diharap lebih fokus dalam membincangkan usaha menguatkan jentera dan keyakinan setiap anggota parti sebagai persediaan menghadapi PRU14.
Beliau berkata jentera UMNO perlu menunjukkan ‘mentaliti boleh menang’ bagi memastikan parti memperoleh kemenangan besar pada PRU akan datang.
“PRU kali ini bermula dengan Perhimpunan Agung UMNO, bermula dengan kita sedar dan insaf agenda kita lebih besar daripada hanya untuk mengekalkan pemerintahan, tetapi juga untuk memastikan negara kita dalam dunia yang tidak menentu ini, dapat kita pertahankan, dalam konteks ekonomi, agama, politik dan keselamatan. Sekarang, mari kita fokus untuk pilihan raya,” katanya.
Jelas beliau, banyak lagi kerja perlu dilaksanakan sekiranya UMNO ingin berdepan PRU dan anggota UMNO seharusnya tidak berada dalam keadaan selesa, sebaliknya harus memantapkan jentera demi memastikan kemenangan milik parti.
Menyentuh cabaran dalaman parti serta serangan bekas pemimpin, Hishammuddin menyifatkan ia bukan perkara baharu, dan yakin ujian itu mampu dihadapi UMNO seperti mana sebelum ini.
“Kita ingat lagi semasa UMNO diharamkan, kita ingat lagi semasa Semangat 46 ditubuhkan, tetapi kita berjaya mengharunginya,” kata beliau.
Anggota Parlimen Sembrong itu, bagaimanapun mempersoal tindakan bekas pemimpin, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini bertukar pendirian apabila sanggup bekerjasama dengan pihak lawan untuk menjatuhkan parti dan kepimpinannya.
“Biarpun pengasas UMNO sendiri Datuk Onn Jaafar mengambil langkah mengundur diri, tetapi Datuk Onn pada masa itu tidak minta orang untuk menghuru-harakan negara kita dengan berdemonstrasi di tengah-tengah jalan dan dia tidak mengaibkan pemimpin UMNO ketika itu, beliau berpegang kepada prinsip ini (mengutamakan kepentingan parti),” katanya.
Ditanya sama ada beliau terbeban untuk mengatur gerak kerja bagi Perhimpunan Agung UMNO 2016 dari 29 Nov hingga 3 Dis, Hishammuddin berkata: “Insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar”.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Persiapan Perhimpunan Agung UMNO, Hishammuddin mengakui tidak berasa tertekan melakukan persiapan itu walaupun sebelum ini, tugas tersebut dibantu dua lagi naib presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas timbalan presiden, dan Datuk Seri Shafie Apdal yang telah keluar parti.
“Tahun ini lebih jelas apa kita kena buat, jadi saya rasa tidak tertekan sangat. Nama jurucakap kita sudah kenal pasti dan draf usul juga sudah siap.
“Kini, saya cuma perlu jumpa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dapatkan hala tuju sedikit berhubung ucapan dasarnya,” kata beliau.
Sebanyak 681 usul daripada 191 Bahagian UMNO di seluruh negara, dan antara usul dijangka mendominasi perbahasan pada perhimpunan kali ini ialah kos sara hidup, perumahan, pendidikan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera serta pilihan raya umum, katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor