Georgetown - Pulau Pinang hilang sepenuhnya pemilikan terhadap Pulau Jerejak apabila negeri ini, melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), menjual 49 peratus miliknya kepada anak syarikat Ideal Properties, Q Island Development.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata sekiranya kerajaan negeri mewartakan Pulau Jerejak sebagai taman negeri lapan tahun lepas, rakyat Pulau Pinang tidak akan hilang keseluruhan pulau itu kepada sebuah syarikat swasta.
"Pada 2013, kerajaan negeri pimpinan DAP, melalui PDC, membatalkan perjanjian dengan Ideal Properties dan menurut sumber PDC, sekiranya perjanjian itu terlaksana, kerajaan negeri berpotensi meraih keuntungan RM220 juta," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bagaimanapun, kata Teng, kerajaan negeri tidak meluluskan usaha sama berkenaan pada 2013 dan sebaliknya menjual 49 peratus saham pulau itu tahun ini pada harga RM156 juta.
Projek pembangunan semula Pulau Jerejak sepatutnya dilaksanakan secara usaha sama antara Q Island Development dan UDA Holdings, sebuah syarikat berkaitan kerajaan.
Pada 10 November, Ketua Menteri Lim Guan Eng, yang juga pengerusi PDC, menggesa Gerakan mendapatkan penjelasan daripada UDA memandangkan syarikat itu terletak di bawah kerajaan persekutuan.
Teng bagaimanapun berkata UDA tidak melaporkan perjanjian berkenaan kepada BN dan perjanjian mengenai syarikat itu hanya dibentangkan di Parlimen.
"Apa yang kami mahu sekarang ialah kerajaan negeri memberi penjelasan penuh tentang perjanjian berkenaan," katanya.
UDA Holdings, dalam satu kenyataan pada 8 November, mengesahkan mengadakan usaha sama dengan Q Island Development mengenai projek itu, yang dijangka siap dalam masa lapan hingga 10 tahun. Jumlah kos tidak ditentukan.
Menurut UDA, pelan pembangunan semula pulau itu telah diluluskan kerajaan negeri. Empat hotel bertaraf lima bintang, 1,200 unit kediaman, sebuah marina, sebuah taman tema dan laluan basikal sepanjang 11.5km akan dibina di pulau itu bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor