Pages

Sunday, November 13, 2016

POLIS TAHAN SUSPEK GANGGUAN SEKSUAL DALAM LRT


ditahan gari


Kuala Lumpur - Seorang lelaki tempatan yang didakwa melakukan jenayah gangguan seksual terhadap seorang wanita ketika berada di dalam LRT pada Selasa lepas ditahan oleh Polis Bantuan Prasarana pagi tadi.

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategi Prasarana, Lim Jin Aun berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan oleh Pasukan Unit Tindakan Khas (SAT) ketika berada di dalam bas Rapid KL laluan dari arah Subang Mewah menuju ke Pasar Seni pada pukul 11.15 pagi.

"Suspek itu telah dibawa ke pejabat SAT untuk proses dokumentasi dan diserahkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Lim berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

Beliau berkata tangkapan dibuat susulan laporan yang dibuat oleh mangsa yang mendakwa telah diganggu seorang lelaki di dalam LRT yang turut mendapat liputan meluas dalam media sosial.

"Rapid KL selaku operator kepada perkhidmatan LRT, Monorel, Bas Rapid Transit (BRT) dan bas di Lembah Klang komited menjamin keselamatan serta keselesaan penumpang," katanya.

Lim berkata, penumpang yang terlihat atau menjadi mangsa jenayah diminta melaporkan segera kepada anggota Polis Bantuan yang bertugas di stesen.

"Kerjasama daripada pengguna amat kami hargai bagi membanteras jenayah di ibu negara khususnya dalam pengangkutan awam," katanya.

Pada 8 November lepas, seorang pengguna laman sosial Facebook yang menggunakan nama Syima Mohamad memuat naik gambar seorang lelaki yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap dirinya ketika berada dalam kesesakan penumpang LRT di stesen Universiti sebelum suspek berkenaan turun di stesen Bangsar.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor