Petaling Jaya: Pasukan laporan siasatan Al Jazeera tampil dengan dokumentari sensasi menerusi penyamaran lebih 4 bulan untuk mendedahkan sindiket penjualan bayi di Malaysia.
Program 101 East yang pernah memenangi anugerah itu membongkar rangkaian pengedar, doktor dan pegawai kerajaan, semuanya mengaut keuntungan daripada wanita dan kanak-kanak.
“Malaysia: Bayi untuk dijual” akan disiarkan di rangkaian TV antarabangsa itu pada jam 10.30 malam waktu UK (6.30 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Menurut kenyataan akhbar Al Jazeera, wartawan yang menyamar itu mendapati:
1. Bayi diperdagangkan seperti komoditi di Malaysia;
2. Harga ditentukan oleh bangsa, warna kulit, jantina dan berat;
3. Doktor dan pegawai kerajaan korup memalsukan dokumen kelahiran; dan
4. Pengkritik menyalahkan penguatkuasaan undang-undang rumit di Malaysia atas kewujudan pasaran bawah tanah yang menyasarkan pasangan tidak boleh mempunyai anak sendiri.
Dalam siasatan selama 4 bulan, wartawan 101 East Chan Tau Chou mendapati betapa mudahnya membeli bayi di Malaysia, di mana pengedar menawarkan pelanggan berpotensi katalog mengandungi gambar wanita hamil untuk dipilih.
“Pengambilan anak angkat secara sah boleh mengambil masa bertahun-tahun di Malaysia dan ia adalah proses rumit,” kata Chan.
“Itu sebabnya ramai beralih kepada pengedar untuk membeli bayi. Dan kemudian mereka membayar doktor dan pegawai kerajaan untuk memalsukan dokumen kelahiran supaya tiada siapa tahu bayi itu bukan milik mereka.”
Program ini mendedahkan bayi lelaki yang berwarna kulit cerah lebih mahal.
Selain jantina dan warna kulit, kebanyakan bakal ibu bapa turut mengambil kira faktor etnik dan berat badan bayi dalam menentukan harga muktamad.
“Anda boleh pilih bayi anda dalam talian. Ia seperti pasar raya,” kata aktivis hak kanak-kanak Hartini Zainudin kepada 101 East.
Pasukan Al Jazeera yang menyamar sebagai pembeli bayi berpotensi mendapati pengedar di Malaysia yang mengiklankan bayi dalam talian, mempunyai 78 wanita hamil Indonesia.
Ia adalah perniagaan menguntungkan, di mana seorang bayi berharga AS$1,500 (RM6,600) hingga AS$2,500 (RM11,000).
Pengedar akan memberi satu katalog gambar wanita hamil kepada pembeli berpotensi.
Pasukan 101 East turut menyamar untuk mengumpul bukti video doktor secara terbuka menawarkan bantuan memalsukan dokumen kelahiran bayi yang dibeli itu, dengan dibantu pegawai berkhidmat di Jabatan Pendaftaran Negara.
Sindiket menjual bayi itu turut menarik banyak minat pekerja seks yang memutuskan tidak mahu menggugurkan bayi mereka apabila hamil.
Ramai bayi baru lahir akhirnya mendapat ibu bapa baik, pasangan yang sudah lama inginkan anak dan sanggup melanggar undang-undang deminya.
Bagaimanapun, mungkin ada bayi lain yang “dibeli” dan dipersiapkan untuk sindiket pedofil atau pengemis mengeksploitasi mereka.
“Tiada pemeriksaan secara teliti mengenai pembeli dan sama ada mereka akan menjadi ibu bapa yang baik. Kepentingan terbaik kanak-kanak itu tidak pernah dipertimbangkan dalam transaksi sedemikian,” kata Chan dalam program 101 East.
Ulangan program itu akan disiarkan Al Jazeera jam 5.30 petang esok, 11.30 pagi Sabtu, 12.30 tengah hari dan 1.30 tengah hari Isnin depan (28 November).
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor