Pages

Thursday, November 3, 2016

ORANG ASLI BERBINCANG, PEMBALAK MAHU REMPUH SEKATAN


Orang Asli berbincang, pembalak mahu rempuh sekatan


Gua Musang - Komuniti Orang Asli yang terlibat dalam kerja-kerja sekatan di Simpang Petei, di sini akan mengadakan perbincangan sama ada untuk meneruskan sekatan atau tidak.

Perbincangan ini dirangka selepas Persatuan Pembalak Kelantan (PPK) mengeluarkan kenyataan untuk sedia merempuh sekatan yang dibina bagi mengeluarkan 1,600 tan balak yang telah ditebang di Hutan Simpan Balah, bernilai RM1.6 juta.

Timbalan Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (Jaringan) Kelantan, Jamali Ayau berkata, perbincangan itu akan melibatkan semua komuniti Orang Asli yang terlibat untuk mencapai kata sepakat.

"Kita akan adakan perbincangan esok dan kita akan putuskan pendirian selepas perbincangan itu. Bertahan atau tidak (sekatan), kita akan mengambil kira pandangan semua.

"Ini adalah demi mendapatkan keputusan sebulat suara kerana kita di sini bergerak secara bersama demi memelihara kawasan yang hampir musnah angkara pembalak," katanya ketika dihubungi.

Tambah Jamali yang juga penduduk Pos Pasik, sekatan kedua di Pos Bihai masih belum dimulakan biarpun sebelum ini ia turut menjadi perancangan.

Terdahulu, Timbalan Presiden PPK, Datuk Cheong Kok Tong turut mencabar Orang Asli mengambil tindakan mahkamah bagi menghalang mereka mengeluarkan hasil balak di kawasan berkenaan.

Tambahnya, pihaknya akan memasuki kawasan berkenaan dalam masa terdekat selepas mendapat persetujuan daripada kerajaan negeri.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor