Pages

Wednesday, November 16, 2016

GENG TOWING TERJERAT AKHIRNYA


Kes jenayah


Kkuala Lumpur - Sindiket curi kenderaan dikenali Geng Towing terjerat dengan tertangkapnya enam lelaki tempatan di sekitar Kepong, Sentul, dekat sini, pada 2 dan 3 November lalu.

Tangkapan dibuat dalam beberapa siri susulan penahanan seorang lelaki.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, suspek berusia 34 tahun ini dipercayai terlibat dalam satu kes pergaduhan pada 2 November.

Menurutnya, siasatan membongkar suspek dipercayai terlibat Geng Towing.

“Geng ini telah aktif melakukan kegiatan mencuri kenderaan sejak Jun lalu dengan menyasarkan kenderaan-kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Bagi mengelakkan kegiatan mereka disyaki oleh orang awam, suspek akan menyamar sebagai pemilik kenderaan terbabit dan menghubungi trak tunda lalu memberitahu kenderaannya telah rosak di tepi jalan dan perlu ditunda ke sebuah bengkel kereta di Kepong,” katanya selepas Himpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.

Beliau mendedahkan, suspek kemudian akan menjual kenderaan tersebut kepada pemilik premis untuk dileraikan dan dijual sebagai alat ganti.

Katanya, bertindak atas maklumat, pada 3 November, polis telah menyerbu bengkel kereta tersebut dan menahan tiga lelaki yang terdiri daripada pemilik, penjaga dan pekerja premis selain menemui lima kenderaan yang telah dileraikan.

Katanya lagi, siasatan mendapati kesemua kenderaan itu telah dilaporkan hilang sekitar Sentul dan Kajang.

“Kita kemudian menyerbu dua lokasi di Taman Desa Jaya dan Taman Ehsan dan menahan dua lagi lelaki,” katanya.

Kesemua tangkapan berusia antara 31 hingga 36 tahun itu telah ditahan reman di IPD Sentul sebelum diserahkan kepada IPD Kajang untuk siasatan lanjut.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor