Kuala Terengganu - Ibu kepada bekas penyerang skuad Penyu, Alfian Aziz yang maut dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Hentian Titiwangsa Gerik Ahad lalu menceritakan arwah anaknya itu ada memberitahunya tentang mimpi bertemu arwah suaminya, Aziz Jalil.
Fauziah Ngah, 58, berkata, anaknya itu menceritakan tentang mimpinya itu pada pagi Jumaat lalu sebelum bertolak ke Kedah.
“Dia beritahu makcik, dia mimpi jumpa arwah ayahnya pakai kain pelikat dan tiba-tiba hilang, malah sejak kebelakangan ini juga, dia sering bercerita tentang ahli keluarga yang sudah meninggal dunia termasuk kepada anak dan isterinya,” katanya ketika menerima ziarah Menteri Besar , Ahmad Razif Abd Rahman di rumahnya, petang kelmarin.
Menurutnya, kehilangan arwah amat dirasai memandangkan dia satu-satunya tulang belakang keluarga dan sering membantunya menyediakan keperluan harian termasuk menghantar adik-adik kurang upaya ke hospital sekiranya perlu menerima rawatan susulan.
“Memang makcik terkejut apabila Suraya (anak kedua) telefon beritahu arwah terlibat kemalangan bersama isteri dan anak-anak,” katanya.
Bagaimanapun, Fauziah reda ketentuan Ilahi itu dan menerimanya dengan tenang malah dia cuba memberitahu anak-anak istimewanya mengenai kematian Alfian, namun mereka tidak dapat mengerti apa-apa.
Sementara itu, kerajaan negeri memberi hak milik rumah sewa yang didiami Fauziah bersama enam anak kurang upaya (OKU) di Rumah Pangsa Kampung Kolam, di sini, sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kerajaan Terengganu terhadap keluarga berkenaan.
Ahmad Razif berkata, Fauziah yang jaga enam anak OKU layak menerima hadiah itu selain mengenangkan jasa arwah Alfian yang pernah mengharumkan nama Terengganu dalam sukan bola sepak.
“Ibu arwah dalam keadaan tidak sihat dan kita difahamkan tempat tinggal sekarang ini (Rumah Pangsa Kampung Kolam) masih lagi dalam sewa dan hari ini (kelmarin) kerajaan negeri beri hak milik terus kepada ibu arwah sebagai CSR kerajaan negeri tanpa sebarang bayaran.
“Dalam masa sama, saya juga meminta Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Pmint) baiki mana yang rosak di dalam rumah ini supaya mereka dapat tinggal dalam keadaan selesa,” katanya.
Menurut Ahmad Razif, sebelum ini rumah yang didiami Fauziah sekeluarga disewa dengan Pmint dan perlu menjelaskan sewa bulanan sebanyak RM105.
Tambahnya lagi, beliau akan lihat bantuan lain yang dapat disalurkan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk uruskan penempatan anak-anak istimewa Fauziah supaya dapat meringankan beban yang ditanggung ibu tunggal itu.
Ketika ditanya hadiah rumah yang sudah menjadi miliknya semalam, Fauziah hanya mampu mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap dirinya yang tinggal bersama enam lagi anak OKU berusia antara 14 hingga 32 tahun termasuk dua perempuan berumur 27 dan 30 tahun.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor