Pages

Sunday, October 2, 2016

WANITA CEMAS DIACU PARANG 15 MINIT


Wanita cemas diacu parang 15 minit


Kuala Krai - Seorang wanita berdepan detik cemas kira-kira 15 minit apabila diacu parang panjang dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Keroh pagi semalam.

Ketika kejadian mangsa, Chong Chong Lan, 53, berada di dalam rumah sementara suaminya Soh Kim Cheok, 60, baharu keluar rumah untuk ke tempat kerja.

Menceritakan detik cemas pagi tadi, Kim Cheok berkata, dia melihat lima lelaki, tiga daripadanya bertopeng berada di halaman rumahnya.

Menurutnya, melihatkan lima lelaki tidak dikenali itu, dia cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke pagar utama.

"Dua daripada lelaki bertopeng mengejar dan memukul saya, menyebabkan saya jatuh.

"Tiga lagi masuk ke rumah lebih kurang 15 minit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Hospital Kuala Krai, petang semalam.

Kontraktor itu berkata, sebaik dia terjatuh, dua lelaki berkenaan mengikat tangannya ke belakang dan meminta wang.

Menurutnya, dia yang kesakitan akibat dipukul menjerit sambil meminta tolong.

"Kedua- dua lelaki itu kemudiannya mengambil jam tangan, beg duit serta dua telefon bimbit dari poket seluar saya.

"Tidak lama kemudian penduduk yang sedang minum pagi di kedai kopi berhampiran datang tetapi mereka tidak berani membantu kerana diacu dengan parang panjang," katanya.

Berikutan kejadian, mangsa kerugian lebih RM100,000 kerana pacuan empat roda, empat telefon bimbit, jam tangan serta wang tunai beberapa negara dianggarkan bernilai lebih RM4,000 turut dilarikan.

Mangsa yang cedera di kepala, lengan kiri dan kanan serta kaki kanan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Krai.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor