Melaka - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron meminta siasatan dilakukan terhadap dua rakaman visual pendek yang tersebar luas di laman sosial Facebook mengenai tindakan individu dipercayai salah seorang petugas sebuah rumah penjagaan orang tua di Melaka mengasari penghuni rumah terbabit.
Visual tersebut yang setiap satunya berdurasi 10 saat menunjukkan dua rakaman berbeza petugas lelaki bertindak menampar warga tua dipercayai penghuni rumah penjagaan terbabit di bahagian muka.
"Sekiranya kejadian ini berlaku di Melaka saya minta supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kementeriannya melihat secara serius perkara ini.
"Jika benar maka siasatan perlu diambil dan perlu ada pertuduhan supaya pihak bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.
Ekoran itu, Idris meminta pihak berkuasa berkaitan rumah penjagaan orang tua melihat kembali peraturan dan garis panduan secara terperinci termasuk syarat-syarat minima bagi mana-mana pihak yang ingin membuka rumah penjagaan tersebut.
"Saya yakin mereka mempunyai syarat-syarat pelantikan penjagaan ketat, sekurang-kurangnya mereka mempunyai kelayakan tertentu seperti faham sensitiviti masyarakat, memahami secara psikologi bagaimana cara berurusan dengan orang tua atau sesiapa yang dijaga termasuk kanak-kanak.
"Ada beberapa akta dan peraturan yang perlu dipatuhi dan sudah pasti ia tiada arahan mengenai sentuhan fizikal kecuali untuk tujuan kesihatan seperti urut atau terapi, itu kita boleh terima.
"Tetapi jika sentuhan itu untuk mengerakkan sesuatu seperti mengarahkan orang tua bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan bertindak memukul di kepala, saya yakin ia tidak ada di dalam garis panduan penjagaan orang tua," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor