Mitos mengenai kewujudan penculikan menggunakan van putih di negara ini mungkin ada benarnya. Perkara ini dikuatkan dengan dakwaan wujud cubaan culik seorang pelajar sekolah di Bandar Kinrara, September lalu.
Menceritakan semula kejadian tersebut, Wan Emil Thaqeef Mohd Asri, 13, berkata, kira-kira jam 12.30 tengah hari, dia berjalan kaki dalam perjalanannya dari rumah ke sekolah yang jaraknya kira-kira satu kilometer.
“Biasanya, saya ke sekolah menunggang basikal tetapi pada hari kejadian, basikal saya rosak menyebabkan saya berjalan kaki untuk ke sekolah.
“Sampai di satu selekoh, tiba-tiba sebuah van putih berhenti di depan saya kira-kira 30 meter. Selepas itu, tiga lelaki berbaju gelap, memakai penutup muka turun dari kenderaan, cuba menangkap saya,” katanya.
Dia hanya mampu berlari menyelamatkan diri tanpa sempat melihat nombor pendaftaran kenderaan yang didakwa cuba menculiknya itu.
“Saya lari melalui lorong-lorong kawasan perumahan untuk menyelamatkan diri. Penculik terbabit berhenti mengejar dan saya sempat menoleh ke belakang melihat mereka seperti kepenatan.
“Saya menyorok dalam longkang kira-kira 40 minit dan selepas van itu beredar saya pulang ke rumah menceritakan perkara tersebut kepada ibu,” katanya.
Wan Emil menambah, van tersebut tidak mempunyai apa-apa tulis, bercermin gelap dan tidak mempunyai cermin di bahagian penumpang belakang.
Sementara itu ibu kepada mangsa, Sharifah Muhazlisa Syed Mohd Bakar terkejut apabila anaknya pulang dengan keadaan berpeluh dan menggeletar ketakutan.
“Saya tanya kenapa dan dia ceritakan tentang kejadian itu. Tanpa membuang masa, saya ke Balai Polis Bandar Kinrara untuk buat laporan polis.
Sinar Harian melakukan tinjauan di sekitar lokasi kejadian pada waktu tengah hari dan dan mendapati kawasan tersebut sunyi tanpa kelibat kenderaan yang lalu-lalang.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor