Serdang – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Malaysia (Jawi) menerima sebuah bas yang diubah suai menjadi surau bergerak dan boleh ditempatkan ketika berlangsungnya acara-acara besar seperti ekspo atau karnival, untuk kemudahan orang ramai menunaikan solat fardu.
Surau bergerak berkenaan diserahkan oleh Bank Rakyat kepada Jawi pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Taman Ekspo Agro Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini pada 2 Oktober lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin yang mewakili Bank Rakyat menyerahkan replika kunci surau bergerak kepada Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya.
Paimuzi ketika dihubungi Bernama berkata kemudahan surau bergerak yang dilengkapi tempat berwuduk, pendingin hawa dan sistem audio itu mampu memuatkan sehingga 40 jemaah pada satu-satu masa serta dikendalikan oleh seorang pemandu dan dua orang kakitangan.
Bagi menentukan arah kibat, kakitangan surau bergerak akan menggunakan kompas supaya pemandu boleh menyesuaikan kedudukan bas secara menegak mengikut arah kiblat.
Paimuzi berkata sumbangan itu diyakini mampu membantu menyelesaikan isu kekurangan ruang surau atau ruang solat ketika berlangsungnya program berskala besar sehingga ada yang terpaksa berebut tempat untuk menunaikan solat.
“Sumbangan ini merupakan satu inovasi yang memudahkan umat Islam menunaikan solat di samping mendidik masyarakat kepentingan menunaikan solat lima walau di mana juga mereka berada,” katanya.
Menurut Paimuzi mana-mana pihak yang berhasrat menganjurkan sebarang ekspo atau program yang melibatkan orang ramai boleh membuat tempahan bagi mendapatkan khidmat kemudahan itu.
“Hari ini merupakan simbolik sahaja, selepas ini kami akan berbincang mengenai jadual perjalanan dan waktu kegunaan perkhidmatan ini sebelum menguar-uarkan kepada umum melalui laman web rasmi Jawi.
“Namun buat masa ini bagi sebarang pertanyaan mengenai khidmat surau bergerak ini orang ramai boleh berhubung dengan Bahagian Pengurusan Masjid, Jawi,” katanya.
Paimuzi turut berharap dengan usaha Bank Rakyat ini, lebih banyak pihak akan tampil memberi sumbangan surau bergerak yang dapat memudahkan umat Islam menunaikan solat.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor