Pages

Saturday, October 22, 2016

[RAUB] JANGAN SOROK MINYAK MASAK


Jangan sorok minyak masak


Masalah kekurangan bekalan minyak masak tidak kritikal di daerah ini, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak masalah berkenaan berulang pada musim perayaan.

Exco Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin berkata, masalah tersebut perlu diberi perhatian terutama oleh pengguna sendiri yang harus menggunakan kuasa membeli dengan sebaiknya.

Menurutnya, dalam situasi semasa, pelbagai barangan keperluan asas menjadi tumpuan dan kebanyakan bekalan terpaksa ditambah bagi menampung permintaan orang ramai sekali gus membuka peluang bagi peniaga mengaut keuntungan.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menetapkan harga bagi barangan kawalan seperti tepung, beras dan minyak masak yang perlu dipatuhi oleh semua peniaga.

"Saya harap peniaga mematuhi arahan ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan atau menyorok bekalan," katanya selepas melakukan tinjauan di pasar dan premis perniagaan sekitar kawasan bandar Raub, semalam.

Beliau menegaskan, peniaga tidak patut mengetepikan amaran dikeluarkan KPDNKK mengenai harga barangan kawalan dan peniaga kecil juga diingatkan agar menghubungi pemborong secara langsung bagi mendapatkan bekalan bahan mentah serta tidak membeli di kedai atau pasar raya.

"Pengguna diingatkan agar tidak melakukan pembelian panik bagi mengelak sebarang masalah. Pembelian lebih berbanding kebiasaan sememangnya mengundang kepada masalah ketiadaan bekalan.

"Perkara ini harus diberi perhatian agar konflik ini tidak terus berulang. Pengguna diingatkan agar menggunakan hak mereka sekali gus mengekang penjual daripada menipu pengguna dengan meletakkan harga tinggi," katanya.

Katanya, pengguna perlu bijak membuat pertimbangan kerana barangan yang hendak dibeli mesti seimbang dengan nilai wang dibayar dan seeloknya pertimbangkan untuk membeli barangan diperlukan atau mampu dibeli.

"Pengguna perlu sedar mengenai hak mereka dalam setiap urusan pembelian dan seharusnya tidak teragak-agak mengambil tindakan melaporkan masalah dilalui kepad pihak berkenaan," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor