Pages

Saturday, October 1, 2016

PULAU RAWA UMPAMA MALDIVES MALAYSIA


 Pulau Rawa umpama Maldives Malaysia


Pulau Rawa merupakan salah satu dari gugusan pulau indah yang terletak di pesisiran laut Johor.

Pulau yang bersaiz kecil ini terletak berhampiran dengan beberapa pulau lain iaitu Pulau Besar, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi.

Sekiranya menaiki bot dari bandar Mersing jaraknya kira-kira 16 kilometer.

Difahamkan dahulunya pulau ini adalah pulau persendirian namun kini dibuka kepada orang ramai dan menjadi salah satu destinasi pilihan pelancong.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong pihaknya menjanjikan percutian indah, mewah dan privasi di gugusan pulau ini (Pulau Rawa, Pulau Besar dan Pulau Sibu serta beberapa pulau lain) bermula 2014 sehingga 2023 selaras dengan pelaksanaan Pelan Induk Pelancongan Johor.

"Keindahannya cukup setanding dengan Maldives, Phuket di Thailand, pihak kita akan membangunkan pantai ini untuk menjadikannya destinasi bernilai tinggi menjelang 2023," katanya kepada media yang menyertai lawatan bersama beliau melawat pulau tersebut baru-baru ini.

Sementara itu, pengunjung Liza Hasan yang berkesempatan mengunjungi Pulau Rawa berkata, apa yang boleh diungkapkannya ketika ke sana adalah 'Pulau Rawa indahnya seperti Maldives'.

'Ia sungguh mempersonakan, dengan pantainya yang berpasir putih seperti kristal dan air pantai yang kebiru-biruan, saya rasa sungguh tenang dan sangat relaks," katanya kepada Sinar Online.

Jelas Liza, sekiranya mahu ke sana mereka boleh menaiki bot dari Mersing dan ianya akan mengambil masa selama 45 minit untuk tiba ke pulau berkenaan.

"Anda boleh nikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan ke sana," katanya.

Katanya, antara aktiviti yang boleh dilakukan di sana ialah 'snorkeling', bermain gelongsor air, 'junggle trekking', berkanu dan memancing.

'Menyelam di sana ada akan dapat melihat batu karang yang sangat cantik dengan 'dihiasi' pelbagai spesies ikan...permainan gelongsor air pula sangat hebat kerana ia dilengkapi dengan dua buah gelongsor, dan jika anda melakukan aktiviti junggle trekking pula anda akan dapat melihat matahari terbit daripada atas bukit Pulau Rawa.

"Dan jika hendak memancing trip memancing boleh diuruskan oleh Resort Pulau Rawa dengan harga berpatutan dan aktiviti berkanu membolehkan anda mengelilingi melihat keindahan Pulau Rawa," katanya.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor