Pasir Puteh - Bajet 2017 menzahirkan kesungguhan kerajaan meningkatkan syiar Islam, sekali gus melahirkan generasi berpengetahuan seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha merealisasikan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) memenuhi tuntutan Islam melahirkan generasi ‘Ulul Albab’.
Menurutnya, peruntukan RM30 juta kepada sekolah tahfiz adalah sumbangan amat besar yang menjelaskan hala tuju negara ke arah memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur.
“Ia mendorong hasrat kita melahirkan lebih ramai hufaz menerusi sistem pendidikan yang lebih komprehensif.
“Kerajaan berusaha membina tenaga sumber manusia, yang bukan sahaja hebat dari segi akademik tetapi hebat dalam pelbagai keperluan termasuk ketakwaan dan jati diri sebagaimana yang dituntut Islam,” katanya.selepas merasmikan Program Jelajah Mesra Informasi Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) di Kompleks Umno Uthmaniyah, Pulau Lima, dekat sini, semalam.
Asraf Wajdi berkata, peruntukan diumumkan menerusi Bajet 2017 sebagai penggerak yang mampu mengangkat martabat Islam di negara ini.
“Pada masa hadapan, negara terletak di tangan generasi digambarkan oleh al-Quran sebagai generasi Ulul Albab yang mengintegrasikan tamadun dengan ilmu ketuhanan.
“Kerajaan menyedari pendidikan al-Quran dan tahfiz al-Quran adalah antara ramuan terpenting dalam konteks memelihara agama, sekali gus menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap agama Islam,” katanya.
Tambah beliau, rakyat wajar menyambut baik Bajet 2017, di mana pondok berdaftar akan mendapat pembelaan sama bagi membolehkan kurikulum pengajiannya dibangunkan dengan peruntukan RM50 juta.
“Malah Sekolah Agama Rakyat (SAR) bakal menerima peruntukan dalam jumlah sama," katanya.
No comments:
Post a Comment
Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor