Pages

Tuesday, October 4, 2016

MASALAH MENTAL: DI MANA PERANAN KITA?


Masalah mental


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes amuk seorang lelaki yang dilaporkan membunuh adik dan jirannya sendiri.

Difahamkan, suspek pernah menghidap masalah mental dan pernah mendapatkan rawatan di hospital sebelum ini.

Kes seumpama ini bukan lagi perkara luar biasa yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Setiap kali kejadian seumpama ini berlaku, pasti kita tertanya-tanya apa peranan yang boleh ibu bapa dan keluarga bagi menangani masalah pesakit mental.

Pakar kaunseling dan motivasi, Ustazah Noor Laila Aniza Zakaria ketika menyentuh isu ini berkata, ibu bapa dan keluarga terdekat seharusnya memainkan tanggungjawab mendidik dan memantau anak-anak yang mempunyai masalah mental.

"Perhatian penuh perlu diberikan kepada mereka. Jika nampak mereka diam dan pasif, ibu bapa jangan buat tidak endah sahaja, sebaliknya perlu menjadi rakan bagi mereka untuk bercerita dan meluahkan apa yang mereka rasa

"Selalulah mengawal tingkah laku dan perhatian mereka. Elakkan mereka berada dalam keadaan tertekan," katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Semalam, seorang lelaki bertindak di luar kewarasan apabila mengamuk lalu memukul hingga mati adiknya yang lumpuh.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi di Kampung Lanai, Parit Panjang lelaki itu turut membunuh ibu saudara yang cuba menenangkannya.

Kejadian itu merupakan yang terbaharu di negara ini seolah-olah kes amuk tidak ada kesudahannya, sekali gus menuntut pihak berkuasa untuk memberi perhatian terhadap rawatan dalam kalangan pesakit mental.

Kejadian bermula apabila lelaki itu yang dipercayai menghidap masalah mental dipercayai memukul adiknya, Mohd. Azwan Wahab, 26, dengan kayu pe­ngukur kelapa dan batu bata di ruang tamu rumah.

Lebih memilukan, Mohd. Azwan tidak terdaya melawan tindakan abangnya itu kerana dia lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan sejak empat bulan lalu.

Ibu saudara mereka, Rokiah Abdullah, 54, yang tinggal di rumah berdekatan dan terdengar suara bising cuba mententeramkan suspek, namun menerima ‘balasan’ sama apabila dipukul di muka oleh suspek menggunakan batu-bata hingga maut dan mayatnya ditemukan di luar rumah.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian kemudiannya membantu menangkap suspek yang berusia 32 tahun itu sebelum mengikatnya pada sebatang pokok nangka di hadapan rumah dan melaporkan kejadian kepada polis.

Kata Noor Laila lagi, setiap individu perlu kembali kepada ajaran agama dan kekal bertawakal kepada ALLAH.

Katanya, Islam mngajar umatnya untuk bertindak waras dalam jua langkah bagi mengelakkan kemudaratan terhadap diri sendiri dan pihak lain.

"Dalam sudut lain, Islam juga membolehkan kita untuk menjaga hak masing-masing.

"Kita semua perlu saling bantu dan saling melindungi, InsyaALLAH akan harmoni," katanya lagi.


No comments:

Post a Comment

Segala komen yang tersiar adalah pandangan dan pendapat peribadi dan PahangKu tidak sesekali mewakili sesiapa atau mana-mana pihak dan tanpa dipengaruhi berhak untuk menyiar atau tidak komen yang ditulis. Pandangan dan pendapat dari komen yang tersiar tidak juga merupakan pandangan PahangKu ~ Editor